Sumbangan TLF, lawatan Panglima

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) bagi operasi di negeri ini telah menerima Top Loading Fridge (TLF) daripada sumbangan Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP pada acara yang diadakan semalam.

Tiga TLF untuk kegunaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan PPAT di Negeri Sabah iaitu B Kompeni 1 Batalion Perubatan, 824 Rumah Sakit Angkatan Tentera Lahad Datu dan PPAT KD Sri Sandakan diserahkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Lapangan Terbang Tawau.

- Advertisement -

TLF yang dapat mengekalkan suhu penyimpanan vaksin COVID-19 pada julat dua hingga lapan darjah celsius ini akan menambah keupayaan dan kemampuan Angkatan Tentera Malaysia dalam menyimpan dan memberi vaksin COVID-19 kepada warga tentera, keluarga dan veteran.

Perkara ini seharusnya mampu mencapai objektif nasional dalam mewujudkan imuniti kelompok melalui pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Di Kelantan, Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Bgd), Brig Jen Abu Hasan Assha’ari Kamis @ Shaffiee telah mengadakan lawatan di PPV di bawah Kawasan Tanggungjawab (KTJ) 8 Bgd di Dewan Ku Ladang, Wakaf Bharu dan Dewan SBJ Putra, Pasir Pekan, semalam. 

Ketibaan Panglima 8 Bgd disambut oleh Ketua Operasi di PPV masing-masing dan seterusnya taklimat disampaikan secara walking brief oleh Pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merangkap pihak pengurusan PPV. 

Lawatan tersebut juga bertujuan untuk meninjau keadaan anggota keselamatan yang bertugas serta mendengar taklimat penugasan melibatkan pasukan 21 RAMD, PDRM, RELA dan JPAM yang berperanan membantu kelancaran urusan pemberian vaksin serta mengawal keselamatan orang awam. 

Panglima juga turut memberikan kata-kata semangat kepada anggota untuk terus mencurahkan bakti dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -