PKPD: Pemuda PN P Pinang serah bakul makanan

- Advertisement -

BAYAN LEPAS: Pemuda Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang telah menyerahkan 50 bakul makanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk diserahkan kepada penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bayan Lepas.

Ketuanya, Mohd Farhan Yusri berkata, sumbangan bakul makanan itu diserahkan kepada wakil JKM di Bilik Operasi JKM yang beroperasi di Dewan Serbaguna Bayan Lepas, di sini, semalam.

Turut hadir ialah Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff, Ketua Pemuda PAS Balik Pulau, Mohd Fahmi Ahmad dan Ketua PAS Cawangan Padang Assam, Shamsul Samsudin.

- Advertisement -

Katanya, sumbangan daripada Perikatan Nasional negeri kepada penduduk yang berada di kawasan PKPD akan menyusul dalam masa terdekat.

“Kami dimaklum oleh pegawai tersebut terdapat lebih 2,300 keluarga dalam kawasan PKPD ini dan dianggarkan 10,000 orang di dalamnya,” ujarnya.

Beliau berkata, bakul makanan yang diterima akan diserahkan kepada mereka mengikut keutamaan berdasarkan rekod JKM.

“Kami juga mendapat maklumat dari sumber lain yang menyatakan terdapat kedai-kedai yang berada di dalam kawasan tersebut semakin kurang bekalan asas untuk dijual.

“Kami ingin mengajak orang ramai yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang dan membantu mereka yang berada di kawasan PKPD Bayan Lepas ini,” katanya lagi.

Tambahnya, segala sumbangan boleh terus ke bilik operasi JKM yang terletak di Dewan Serbaguna Bayan Lepas bersebelahan Balai Polis Bayan Lepas.

Beliau berharap semoga sumbangan yang diberikan itu dapat meringankan beban mereka di kawasan PKPD. – HARAKAHDAILY 7/6/2021

- Advertisement -