Wakil rakyat PN korban gaji demi rakyat

- Advertisement -

RANTAU PANJANG: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan hanya sekadar bercakap sahaja, sebaliknya turut mengorbankan gaji bulanan bagi membantu penduduk yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusof berkata, bagi wakil rakyat dan lantikan politik yang mewakili PAS sudah lama mereka memotong gaji bulanan untuk tabung parti.

Malah wakil rakyat di Kelantan juga dipotong elaun bulanan untuk Tabung Serambi Mekah sejak dahulu sehingga sekarang bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah.

- Advertisement -

“Menteri, timbalan menteri, ahli Parlimen atau mana-mana lantikan politik lain yang mewakili PAS sudah biasa dengan perkara itu.

“Gaji mereka sejak awal lagi dipotong untuk parti untuk membantu jemaah dan apa saja keperluan rakyat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada peniaga Pasar Tasek Raja Pasir Mas yang terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 semalam.

Sumbangan berupa bakul makanan itu diberikan kepada 153 peniaga pasar secara pandu lalu, diadakan di Pusat Khidmat Parlimen Rantau Panjang.

Program itu diadakan secara berperingkat-peringkat bermula jam 9 pagi.

Siti Zailah yang juga ahli parlimen Rantau Panjang berkata, pimpinan PAS khususnya wakil-wakil rakyat daripada parti itu tidak menghadapi sebarang masalah tidak ambil elaun selama tiga bulan.

“Ini kerana sebagai ahli PAS sejak sekian lama kami dididik dengan memotong gaji sebanyak 25 peratus untuk parti.

“Dan sekarang gaji bulanan menteri dan timbalan menteri tidak diambil untuk dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Bencana Negara sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19,” ujarnya.

Baru-baru ini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan anggota kabinet bersetuju tidak mengambil gaji masing-masing selama tiga bulan mulai Jun ini.

“Alhamdulillah kita bersyukur kerana apa yang dilakukan ini adalah untuk membantu rakyat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/6/2021

- Advertisement -