Kebajikan rakyat jadi keutamaan kerajaan PN

- Advertisement -

KANGAR: Keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkongsi kesukaran bersama rakyat mengharungi pandemik Covid-19 tidak mampu dinafikan lagi.

Sehingga sekarang banyak pengorbanan dilakukan kerajaan PN termasuk memperkenalkan pelbagai pakej kewangan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak.

Dan terbaru jemaah menteri diketuai Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mengambil gaji selama tiga bulan mulai Jun bagi membolehkan wang tersebut disalur untuk membantu rakyat.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Perlis Mohd Shukri Ramli berkata, langkah kerajaan PN itu menunjukkan kebajikan rakyat menjadi keutamaan kerajaan sekarang.

Katanya, tindakan itu sekali gus membuktikan barisan kepimpinan negara lebih mengutamakan kebajikan rakyat.

“Langkah jemaah menteri kerajaan PN membuat pemotongan gaji sesuatu yang disanjungi rakyat. Saya melihat kerajaan sekarang lebih cakna berkaitan dengan hal-hal kebajikan rakyat.

“Ramai rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 yang berlaku sejak tahun lepas. Lebih-lebih lagi golongan yang mencari rezeki secara gaji harian.

“Sudah pasti langkah kerajaan PN akan melegakan sedikit perasaan rakyat. Ternyata jemaah menteri sanggup merasai dan berkongsi kesusahan yang dialami rakyat bawahan,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan anggota kabinet kerajaan PN tidak mengambil gaji selama tiga bulan bagi membolehkan sumber kewangan tersebut digunakan bagi membantu rakyat.

Langkah serupa diambil kerajaan-kerajaan negeri termasuk Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perak yang mengumumkan potongan gaji Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan Adun dimasukkan dalam dana bantuan Covid-19.

Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, langkah kabinet dan beberapa kerajaan negeri memotong gaji menteri besar dan jemaah pentadbir sepatutnya diperluaskan ke seluruh negara.

“Ia sebagai tanda sokongan kepada usaha dilakukan barisan jemaah menteri dan beberapa kerajaan negeri. Saya menyarankan wakil rakyat di setiap negeri juga membuat pemotongan gaji sebanyak 30 peratus,” katanya.

Manakala dalam perkembangan berkaitan PAS Perlis turut melancarkan Tabung Bencana Covid-19 PAS Perlis untuk memberi peluang kepada ahli dan pendukung PAS menyumbang kepada rakyat yang memerlukan.

“Marilah kita bersama merasai kesusahan dan keperitan hidup rakyat dengan menyumbang melalui dana Covid-19 bagi membolehkan bantuan dihulur kepada mereka,” katanya.

Sumbangan boleh disalur melalui akaun Bank Islam Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Perhubungan Negeri Perlis bernombor 090 100 100 55563. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -