Covid-19: Kematian kanak-kanak bawah 5 tahun meningkat

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerima statistik kes kritikal dan kematian Covid-19 meningkat dalam kalangan kanak-kanak bawah lima tahun sepanjang lima bulan pertama tahun 2021.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menyatakan kebimbangan memandangkan bilangan kematian sama direkod sepanjang tahun 2020.

- Advertisement -

Menurutnya, kali ini adalah dalam tempoh yang lebih singkat iaitu dalam lima bulan pertama tahun ini dan telah merekodkan sebanyak tiga kematian melibatkan kanak kanak.

“Kes kanak-kanak yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) juga menunjukkan peningkatan yang ketara.

“Sehingga Mei 2021, sebanyak 27 kes kanak-kanak memerlukan rawatan di ICU dan daripada jumlah itu, 19 kes adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebanyak tiga kes kematian Covid-19 yang melibatkan kanak-kanak bawah lima tahun telah dilaporkan sepanjang tahun 2020.

Pada tahun 2020, jumlah keseluruhan kes pediatrik yang menerima rawatan di ICU adalah sebanyak lapan kes di mana enam daripadanya berumur bawah lima tahun.

“KKM menyeru semua pihak untuk mengambil berat situasi yang serius ini kerana kanak-kanak adalah kumpulan yang perlu dilindungi.

“Masyarakat terutamanya ibu bapa dan penjaga dapat memainkan peranan penting bagi melindungi mereka yang mempunyai imuniti yang rendah seperti bayi dan kanak-kanak agar terhindar daripada virus Covid-19.

“Binalah persekitaran yang selamat bagi mereka dengan mematuhi sepenuhnya semua SOP sedia ada dan segeralah dapatkan vaksin bagi golongan dewasa yang layak,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/6/2021

- Advertisement -