MB, Exco, Adun Kelantan sumbang dana Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebagai tanda sokongan terhadap usaha menangani Covid-19, Menteri Besar menyumbang sebanyak RM15,000 dan setiap anggota Exco pula RM10,000 kepada Tabung Amanah Kebajikan Darul Naim (Tabung Serambi Mekah).

Manakala setiap Adun Kelantan termasuk dari PAS, Barisan Nasional dan Bersatu pula menyumbang sebanyak RM3,000. Jumlah Adun penyokong kerajaan seramai 34 orang. Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan tiada pembangkang.

- Advertisement -

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob juga berkata, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.7 juta menerusi Pakej Bantuan Cakna Rakyat Covid-19 sebagai inisiatif bantuan kepada rakyat dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 sekarang.

“Pakej itu melibatkan peruntukan RM60, 000 bagi setiap kawasan Dun tersebut akan diselaraskan melalui 45 Pusat Khidmat Dun,” katanya pada satu kenyataan selepas mesyuarat Exco hari ini.

Kata beliau langkah itu sebagai usaha meyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi meringankan beban rakyat yang terkesan serta sebagai tanda sokongan kepada usaha menangani Covid-19

Menurutnya juga kerajaan negeri memberi kelonggaran bayaran cukai tanah semasa yang berakhir pada 30 Jun 2021 dilanjutkan kepada 31 Ogos depan.

Selain itu katanya, denda lewat cukai tanah hanya akan dikenakan bermula 1 September 2021.

Katanya juga inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) sebanyak RM40 bilion menunjukkan keprihatinan kerajaan Perikatan Nasional ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 di seluruh negara sekarang.

“Saya sekali lagi menyeru seluruh rakyat Kelantan segera mendaftar dan mengambil suntikan vaksin Covid-19.

“Marilah kita terus berdoa agar petugas barisan hadapan diberi kekuatan dan ketabahan oleh Allah S.W.T atas usaha dan pergorbanan dalam menjalankan tugas yang sangat mulia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/6/2021

- Advertisement -