HRPZ II jadikan wad separa kritikal sebagai ICU

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menjadikan wad separa kritikal hospital berkenaan sebagai Unit Rawatan Rapi (ICU) susulan kapasiti unit berkenaan yang merawat  pesakit Covid-19 telah mencapai penggunaan maksimum hingga mencecah 97 peratus.

Pengarah HRPZ II Datuk Dr Selasawati Ghazali berkata langkah itu susulan lonjakan kes baharu harian Covid-19 yang tinggi di negeri ini menyebabkan pihaknya terpaksa meningkatkan kapasiti katil di ICU sedia ada.

- Advertisement -

“Sekarang kapasiti penggunaan katil ICU mencapai tahap maksimum antara 95 hingga 97 peratus. Jadi kami mengambil inisiatif untuk menjadikan wad separa sebagai ICU dengan tambahan 22 buah katil.

“Keperluan tambahan ini perlu memandangkan kami juga menerima kes-kes kecemasan membabitkan pembedahan, ibu bersalin atau anak-anak kecil melibatkan kes trauma dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan 2,780 pelitup muka daripada Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Kelantan yang diwakili pengerusinya, Datuk Syamsuri Awang Mat di HRPZ II di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Selasawati berkata pihaknya akan turut bekerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian dan Hospital Pakar Perdana, Kota Bharu untuk menempatkan pesakit bukan Covid-19 yang memerlukan rawatan di ICU.

“Disebabkan kes-kes di ICU semakin meningkat, kita perlu semak semula untuk menerima kes-kes yang memerlukan bantuan pernafasan atau rawatan rapi, jadi kita harap dengan adanya kerjasama ini nanti sekurang-kurangnya ia dapat membantu.

“Sebab itu persediaan ICU adalah perlu bukan sahaja untuk tampung kes Covid-19 tetapi termasuk juga pesakit bukan Covid-19,” katanya.

Selain itu menurut beliau bagi mengurangkan pergerakan pesakit ke hospital, pihaknya turut menyediakan pemberian bekalan ubat secara pos.

“Kita meningkatkan pemberian bekalan ubat dari tempoh sebulan menjadi tiga bulan. Bagaimanapun, sekiranya berlaku kecemasan atau gejala, mereka perlu datang ke hospital,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -