Vaksin: Mampu capai sasaran 150,000 dos sehari

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau telah telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk mempercepatkan pemberian vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau dimaklumkan, pemberian dos pada bulan Mei telahpun mencapai purata 80,000 dos sehari.

- Advertisement -

“Insya-Allah, menjelang akhir Jun nanti, kita mampu mencapai sasaran 150,000 dos sehari melalui penambahan terimaan vaksin dari syarikat pengeluar, penambahan pusat-pusat pemberian vaksin, memperkenalkan kaedah pemberian secara pandu lalu dan penambahan anggota sukarelawan,” ujarnya semasa menyampaikan perutusan khas berkaitan Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+), malam ini.

Menurutnya, berdasarkan unjuran, pelaksanaan PICK secara keseluruhan disasarkan untuk selesai menjelang bulan Disember 2021 dengan negeri berkepadatan penduduk tinggi seperti Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang menjelang Oktober.

Sehubungan itu, beliau merayu, supaya rakyat yang telah mendapat tempahan vaksin untuk hadir di mana-mana pusat pemberian vaksin yang ditetapkan.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan negara mencapai imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” ujarnya.

Beliau juga mendengar keluhan rakyat, terutamanya warga emas dan mereka yang tinggal jauh yang mengalami kesukaran untuk hadir ke PPV.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan supaya aset-aset kerajaan seperti bas, van dan kenderaan pool digerakkan bagi tujuan ini.

“Saya amat mengalu-alukan kerjasama pihak swasta, NGO dan pertubuhan masyarakat awam untuk turut menggiatkan usaha ini,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -