PKP penuh mampu turun kadar harian Covid-19

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyokong penuh keputusan kerajaan Persekutuan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu bermula esok.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sentiasa bersama dengan kerajaan pusat dalam usaha menghadapi penularan pandemik Covid-19.

“Apa sahaja keputusan yang dibuat Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan dikuti dan dilaksanakan di peringkat negeri,” kataya di sini.

- Advertisement -

Kerajaan mengumum melaksanakan PKP penuh mulai esok dengan mengambil kira peningkatan kes harian Covid-19 yang begitu membimbangkan sekarang.

Malah pada Sabtu lepas dicatat kes kematian meningkat kepada 98 orang. Kelantan juga mencatat kes harian positif tinggi iaitu 907.

Mengenai dakwaan pihak tertentu kerajaan lambat melaksanakan PKP penuh Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, keputusan yang dibuat perlu mengambil kira pandangan semua pihak.

Kata beliau ia tidak boleh dilaksanakan dengan terburu-buru dan perlu disesuaikan dengan keadaan semasa peningkatan wabak.

“Apa yang penting pelaksanaan yang tegas oleh kerajaan dijangka dapat membantu menurunkan kadar harian Covid-19.

“Dan dalam masa yang sama perlu kerjasama penuh setiap anggota masyarakat bagi membantu kerajaan menurunkan kes harian Covid-19,” ujarnya.

Sehubungan itu beliau berharap semua pihak mengikuti arahan kerajaan daripada semasa ke semasa supaya mereka tidak terlepas mendapat maklumat yang tepat. – HARAKAHDAILY 31/5/2021

- Advertisement -