Almarhum Harussani berjasa besar pembangunan Islam di Perak

GAMBAR FAIL...Tuan Guru Abdul Hadi menziarahi Tan Sri Harussani pada Mac 2018.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Almarhum Tan Sri Harussani Zakaria merupakan seorang yang sangat berjasa besar khususnya kepada pembangunan Islam di negeri Perak.

Beliau memegang jawatan Mufti Perak selama lebih tiga dekad, bermula dari tahun 1985 sehingga sekarang.

- Advertisement -

Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, almarhum turut terkenal dengan karya himpunan fatwanya yang berjudul ‘Irsyad Hukum (Menyentuh Persoalan Semasa)’.

Selain itu katanya, arwah banyak terlibat dalam pembentangan kertas kerja dan memberikan pandangan terhadap masalah semasa.

“Rasa hiba menyelubungi diri saya, apabila dikhabarkan Mufti Negeri Perak Darul Ridzuan kembali ke rahmatullah pada jam 2:45 petang tadi,” katanya menerusi laman Facebook beliau, petang ini.

Allahyarham dijangkiti wabak pandemik Covid-19 dan menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

Oleh itu Presiden PAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga almarhum atas ujian duka tersebut, semoga bersabar dan redha atas ketentuan Allah SWT.

“Marilah kita berdoa agar Allah SWT menerima segala amal soleh, mengampunkan segala dosa dan menempatkan beliau dalam kalangan para solihin,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/5/2021

- Advertisement -