Kedah wujudkan pasukan khas sampaikan maklumat Covid-19

- Advertisement -

POKOK SENA: Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pasukan Komunikasi Peringkat Negeri Kedah untuk membantu menyampaikan maklumat terkini berkenaan wabak Covid-19.

- Advertisement -

Exco Penerangan dan Komunikasi, Wan Romani Wan Salim berkata, melalui pasukan itu, maklumat tepat berkenaan Covid-19 akan disebarkan kepada orang ramai untuk mengelak sebarang kekeliruan.

“Ia juga termasuk maklumat seperti prosedur operasi standard (SOP), program vaksinasi, pembudayaan norma baharu dan lain-lain berkaitan Covid-19 yang lebih tepat.

“Maklumat yang akan dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Kedah akan disebarkan oleh pasukan ini bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan rakyat,” jelas beliau sebaik sahaja selesai mempengerusi mesyuarat secara di atas talian membincangkan hal berkenaan, semalam.

Menurutnya lagi, pasukan itu akan dianggotai oleh beberapa agensi kerajaan yang akan bertindak sebagai urusetia.

Antaranya Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Keselamatan Negeri(MKN), Pejabat Pembangunan Negeri Kedah, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan Negeri berkenaan.

Ekoran itu, jelas beliau lagi, Jabatan Penerangan Negeri Kedah akan memperkasakan penyampaian maklumat termasuk program Info On Wheels (IOW) yang telah dilaksanakan oleh Pejabat Penerangan di setiap daerah.

“Diharapkan dengan usaha yang dibuat ini akan memudahkan orang ramai mendapatkan saluran maklumat yang tepat dah sahih berkaitan isu semasa Covid-19,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/5/2021

- Advertisement -