Jururawat sambilan cari dana atasi pendengaran anak

- Advertisement -

BACHOK: Bekerja sebagai jururawat sambilan dengan pendapatan bulanan RM1,000 tentunya Wan Norfaraliza Wan Abdul Halim, 34, tidak mampu membeli peralatan pendengaran bagi kegunaan anaknya.

Anaknya, Muhammad Harraz Firdaus Shamsulhadi memerlukan alat pendengaran
yang berharga lebih RM82,000.

Harraz kini berusia lima tahun hanya mampu senyum dan ketawa namun tidak mampu bercakap atau berkomunikasi seperti kanak-kanak normal lain.

- Advertisement -

Wan Norfaraliza menyedari masalah pendengaran anaknya itu ketika dia berumur dua tahun setengah apabila tidak memberi sebarang tindak balas ketika dipanggil atau melihat televisyen.

Katanya, selepas menjalani beberapa pemeriksaan, doktor mengesahkan anaknya berdepan masalah lambat bercakap, iaitu fenomena biasa yang dialami sesetengah kanak-kanak di Malaysia.

Bagaimanapun, Wan Norfaraliza mengambil satu inisiatif menghantar anaknya itu ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Doktor menasihatkan supaya anak saya menggunakan alat untuk membantu Harraz mendengar dengan baik.

“Selain boleh bercakap seperti kanak-kanak lain. Doktor terangkan satu persatu prosedur dan bayaran yang perlu dijelaskan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pak Pura, Beris Kubur Besar hari ini.

Menurutnya juga, beliau bekerja sebagai jururawat sambilan dengan menjaga pesakit di rumah mereka.

Katanya, beliau membantu keluarga pesakit terbabit untuk menjaga ahli keluarga yang terlantar sakit.

“Namun disebabkan musim Covid-19 sekarang, kerja saya tidak menentu. Saya buntu bagaimana untuk mencari duit untuk membeli alat pendengaran untuk Harraz,” katanya.

Oleh itu, orang ramai yang ingin membantu jururawat sambilan terbabit boleh menyalur sumbangan melalui akaun BSN 0300341100043804 atas nama Wan Norfaraliza Wan Abdul Halim atau boleh hubunginya di talian 010 419 6469. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -