Dugaan dalam menjelaskan kepentingan vaksin

- Advertisement -

ALLAH… Di peringkat awal dulu saya dipulau, dikecam, diugut oleh tidak sedikit kerana bersungguh beri penerangan kepentingan vaksin. Mereka kata bawa agenda Yahudi, musuh Islam. Syirik dan rosak akidah. Kata mereka.

Parti Islam patut halau saya kerana ‘tidak memperjuangkan perubatan cara Islam, cara sunnah’! Tambah mereka. (Ramai aktivis perubatan Islam sebenarnya sangat memahami, segelintir yang ada masalah). Apa saya jawab? Kalau kerana nak sampaikan perkara yang benar saya perlu hilang kedudukan, biarlah. Saya pilih cakap yang benar. Lebih-lebih lagi ini soal nyawa orang ramai, keselamatan negara.

- Advertisement -

Saya berterima kasih adanya kawan seperti Dr Suhazeli Abdullah , Dr Amirul Amzar dan ramai lagi yang kebal telinga terus berusaha beri penerangan. Lebih berterima kasih kepada Presiden PAS sendiri, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang sentiasa memberikan semangat dan dorongan bahawa ini satu jihad yang besar, menjadi tanggungjawab menyelamatkan umat dan negara.

Hari ini bukan lagi dikecam kerana ajak rakyat menerima vaksin. Tetapi dikecam kerana rakyat mahu segera menerima vaksin tetapi pelbagai kelemahan mula dikesan di sepanjang program yang berlangsung sejak lebih 2 bulan ini.

Seperti biasa. Tiada perkara yang sempurna. Di semua negara ada sahaja kelemahan akan timbul. Di Amerika Syarikat pun pernah di peringkat awal dos dos vaksin terbuang begitu sahaja kerana ramai tidak hadir. Di Singapura pernah terjadi kesilapan petugas lupa cairkan vaksin sehingga ada yang disuntik dengan kepekatan dos 5 kali ganda.

Kelemahan perlu diperbaiki dan diambil tindakan. Kita menerima segala teguran. Cuma kecaman dan teguran kali ini manis dan besar ertinya. Kerana ia bukan lagi penolakan terhadap vaksin. Ia desakan mahukan vaksin. Dan itu baik untuk usaha kita menyelamatkan nyawa dan negara.

Kerana itu saya bersyukur dan berterima kasih dengan kecaman dan teguran anda semua. Yang saya amat khuatir kini, Kelantan, Terengganu dan Kedah disebut sebut perlahan dalam penerimaan vaksin. Ramai tidak hadir hari suntikan. Semoga bangkitlah betulkan keadaan ini. Allah… terimalah ini sebagai jihadku. Alhamdulillah.

YB DATO’ HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 27/4/2021

- Advertisement -