Anak muda pengaruhi keluarga daftar segera vaksinasi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pemuda PAS disaran turut memain peranan mengajak golongan belia memastikan sanak saudara dan keluarga mereka mendaftar program vaksinasi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kedah, Abdul Hadi Omar berkata, pemimpin utama PAS termasuk Presiden Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sejak awal lagi menyokong program tersebut.

- Advertisement -

Malah katanya perkara itu selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) yang memutuskan penggunaan vaksin Covid-19 adalah harus.

“Jadi golongan belia disaran menyahut seruan kerajaan supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19.

“Langkah itu bukan sahaja dapat membendung penularan wabak, malah sebagai usaha menyokong kempen kerajaan ‘Lindung Diri Lindung Semua’.

“Pemuda PAS Kedah menyambut baik langkah kerajaan tersebut untuk membina imuniti kelompok yang boleh membantu mengurangkan risiko penularan Covid-19,” katanya di sini.

Menurut laporan media di Kedah sehingga 25 Mei lepas hanya 571,610 penduduk mendaftar sebagai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Februari lalu.

Abdul Hadi berkata, jumlah pendaftaran itu hanya mewakili 35.7 peratus daripada jumlah penduduk Kedah.

Sedangkan katanya jngkaan awal kerajaan sekitar 1.76 juta rakyat Kedah akan menerima vaksin untuk mencapai Imuniti kelompok 70.8 peratus populasi negeri itu.

“Kami berharap mereka yang belum mendaftar terutama golongan muda segera bertindak sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau alternatif lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -