Apa agenda DAP di sebalik projek mega Pulau Pinang?

- Advertisement -

UMUM mengetahui Kerajaan DAP Pulau Pinang mempunyai kepentingan dan agenda di sebalik projek berskala yang sejak kebelakangan ini menjadi pertikaian sama ada oleh warga Pulau Pinang sendiri mahupun aktivis alam sekitar.

Projek berskala besar yang dibuat kebanyakannya ada kepentingan syarikat kroni dengan dalam masa yang sama mengorbankan penduduk juga memberi kesan kepada alam sekitar yang lebih dahsyat.

Lihat sahaja projek tambakan yang memusnahkan ekosistem alam di pinggir pantai, memusnahkan sumber pendapatan nelayan dan lebih besar lagi menjadi alat mengusir paksa penduduk tempatan untuk keluar dari tanah pulau selain pelebaran kawasan penempatan bagi warga ‘import’ yang bakal memberi undi kepada kelompok ultra kiasu.

Benar tambakan laut bukan perkara baharu di Pulau Pinang, ia bermula sejak 1960 dengan penambakan sebanyak 0.1 peratus daripada sebahagian pulau, kemudian meningkat kepada 0.3 peratus pada tahun 1980 dan 3.2 peratus pada 2015.

Terkini, Pulau Pinang dalam usaha meneruskan pembinaan terowong dasar laut yang menghubungkan tanah besar, dari Bagan Ajam dan pulau, Persiaran Gurney melalui laluan terowong yang juga tentunya menyumbang sedikit sebanyak kepada penambakan laut.

- Advertisement -

Idea asal Penang South Reclamation (PSR) atau projek tambak laut Pulau Pinang adalah untuk membiayai Penang Transport Master Plan (PTMP) atau pelan induk pengangkutan Pulau Pinang yang dijadikan alasan untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri itu.

Antara projek dirangka menerusi PTMP ialah pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT), monorel, teksi air, kereta kabel, terowong dasar laut dan beberapa lebuh raya.

Bagaimanapun, hasrat tersebut terkubur bersama kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tumbang pada Februari 2020.

Logik sekiranya kerajaan Pulau Pinang, DAP kecewa, tetapi berbaloikah meneruskan PTMP dan menyerahkan PSR kepada syarikat swasta, atau lebih tepat menggadaikannya kepada entiti luar?

Bukankah pembahagian nisbah 30:70 antara kerajaan negeri dan syarikat swasta membuktikan bahawa kerajaan negeri bukan pemilik utama PSR, namun syarikat luar iaitu SRS Consortium yang dimiliki Gamuda?

Pelantikan Lim Guang Eng sebagai Menteri Kewangan Malaysia ketika PH mentadbir negara menjadi jalan mudah untuk DAP selaku kerajaan negeri meluluskan sejumlah dana untuk membiayai sebarang projek di negeri itu, termasuk PSR dan PTMP.

Malah, sepanjang PH mentadbir, PSR juga turut memperoleh kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) setelah Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) meluluskannya.

April 2019, Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu meluluskan PSR dengan 18 nasihat ditetapkan.

Kemudiannya, Julai 2019, JAS Pulau Pinang dilaporkan telah memberi kelulusan dengan 72 syarat yang perlu dipenuhi sebelum PSR dijalankan sekaligus membuktikan bahawa projek tersebut telah menerima kelulusan EIA.

Berdasarkan surat yang dikirim JAS Pulau Pinang, EIA telah diluluskan pada 25 Jun 2019 oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar ketika itu, Dato’ Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.

Pada waktu tersebut, JAS Malaysia merupakan agensi di bawah Kementerian Tenaga Sains Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MOSTI) yang dipimpin oleh Yeo Bee Yin yang juga merupakan Ahli Parlimen Bakri dari DAP.

Kedudukan Yeo Bee Yin jelas mempunyai kuasa ke atas JAS dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai penggerak projek dan tentunya menimbulkan keraguan.

Ogos 2019, Pulau Pinang menghantar permohonan rasmi atau rayuan dana kepada Kerajaan Pusat bagi merayu dana RM10 bilion untuk membiayai sebahagian PTMP.

Dalam masa sama berhasrat untuk ‘nego’ keluasan tambakan sekiranya kerajaan pusat bersetuju untuk mendanai dua projek PTMP, iaitu pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) dan Lebuhraya Pan Island Link (PIL) yang dianggarkan bernilai RM20 bilion.

Nampaknya permohonan dan rayuan pada Ogos itu dipandang sepi sehingga ke penghujung 2019. Namun, khabar dana hanya sepi pada peringkat kerajaan persekutuan, bukan dari pelabur-pelabur luar.

Disember 2019, Chow memaklumkan bahawa Pulau Pinang menerima RM13.3 bilion pelaburan, meningkat 247 peratus berbanding tahun lalu dengan RM12 bilion daripada jumlah itu adalah pelaburan langsung asing (FDI) bagi sektor pembuatan.

Segalanya tersusun lancar sehinggalah pandemik menyerang dunia dan kerajaan persekutuan Malaysia beralih tangan. Bukan sahaja tiada pinjaman atau dana daripada persekutuan, bahkan tiada jaminan pinjman daripada kerajaan pusat.

Disember 2020, Chow memaklumkan permohonan pihaknya ditolak sebanyak tiga kali untuk mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai LRT Komtar-Bayan lepas.

Dalam masa sama Chow turut mendakwa, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi surat pada 1 Okt 2019 kepada beliau menyatakan bahawa bon-bon oleh kerajaan negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan bahawa iada sebarang rekod persetujuan diberikan oleh kerajaan PH terhadap permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan pinjaman asing bernilai RM2 bilion.

Jadi, tidak timbul persoalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menarik balik jaminan pinjaman untuk membiayai projek LRT itu.

Adakah DAP dipermainkan Tun Dr Mahathir? Adakah ia menjadi pengakhiran kepada usaha DAP selama ini? Tidak sesekali, perkara sama mungkin berulang.

Malah, DAP selaku kerajaan negeri juga tidak menunjukkan sebarang tindakan atau langkah untuk berputus asa sehinggakan baru-baru ini dilaporkan bahawa usaha membagunkan PSR diteruskan bermula dengan Pulau A.

Pulau Pinang tukar rancangan bangunkan PSR

Menurut Pengerusi Pertubuhan Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (LEKAS), Zikrullah Ismail, EIA sedia ada yang diluluskan merupakan penilaian untuk Pulau B dibangunkan terlebih daulu.

Katanya, idea asal PSR asalnya bermula dengan Pulau B dengan keluasan 1,400 ekar; diikuti Pulau A seluas 2,300 ekar dan Pulau C, seluas 800 ekar.

Bagaimanapun pengumuman Gamuda yang merupakan rakan pelaksana projek (PDP) bagi PTMP bahawa Pulau A akan diteruskan adalah berbeza dengan idea asal.

Ini turut menimbulkan persoalan buat Zikrullah dan beliau menganggap bahawa itu hanyalah ‘trick‘ daripada kerajaan negeri untuk meyakinkan pelabur.

Menurut Zikrullah, sepatutnya penggerak projek sudah mempunyai peluang untuk memulakan projek memandangkan kelulusan EIA akan bertahan selama 2 tahun dan akan terbatal setelah tempoh itu.

Persoalannya, mengapa Pulau PInang sanggup berpatah balik dari step awal?

Jelas Zikrullah, rancangan tersebut berubah selepas PH tidak lagi menjadi kerajaan persekutuan.

Menurutnya, sebelum ini Pulau Pinang memunyai keyakinan tinggi untuk memperoleh dana daripada pusat semasa PH mentadbir negara di samping Lim Guang Eng merupakan Menteri Kewangan ketika itu.

Namun, perancangan tersebut tidak berjalan seperti yang dirancang, bahkan gerenti kewangan daripada kerajaan persekutuan turut hilang. DAP tentunya perlu memikirkan pelan baharu yang akan menguntungkan mereka.

Maka, muncul pelan baharu untuk penambakan pulau buatan di Pulau Pinang dengan Pulau A sebagai pulau pertama yang akan dibangunkan dan berbeza berbanding apa yang diluluskan EIA sebelum ini.

Mengapa Pulau A? Hal ini kerana Pulau A merupakan pulau yang paling berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan relevan dengan pembinaan LRT yang menghubungkan Pulau A dan lapangan terbang.

“Mereka nak extend airport, kemudian mereka hendak buat depot LRT itu, tempat nak stop LRT. Kalau dia buat Pulau B seperti rancangan asal dahulu, maksudnya dia tidak boleh buat LRT.

Selain itu kata Zikrullah, Pulau Pinang juga dilihat sedang giat ‘brainwashed‘ rakyat Pulau Pinang bahawa projek-projek tersebut memberi kesan yang baik kepada alam sekitar melalui pelaporan media tempatan.

Malah, terdapat usaha untuk memberi gambaran bahawa projek itu sedang berjalan lancar seperti yang dirancang walaupun hakikatnya penggerak projek memerlukan kelulusan EIA semula untuk memulakan projek.

“Mereka sehinggakan mengambil keputusan untuk membuat artikel berbayar kepada sebuah media tempatan, untuk membina keyakinan pelabur dan umum,” ujarnya.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berpandangan bahawa keputusan kerajaan negeri mengumumkan pembinaan Pulau A diteruskan dalam masa terdekat telah menyebabkan penduduk dan nelayan tempatan merasa takut.

Katanya, propaganda yang cuba dicetuskan untuk meyakinkan pelabur akan menyebabkan penduduk resah dan terpinga-pinga mengani kaedah pelaksanaannya.

Bahkan, tindakan yang diambil kerajaan negeri seolah menjadi satu scam kepada penduduk, apatah lagi dengan iklan tawaran peluang pekerjaan yang menurutnya sesuatu yang diwujudkan hanya untuk mencari kerasionalan tindakan kerajaan negeri.

“Padahal semua ini propaganda belaka. Jadi ini tidak wajar, memperjudikan nasib rakyat sendiri, menipu rakyat hidup-hidup.

“Menyebabkan nelayan takut, penduduk jadi takut, begitu juga orang yang berkepentingan di dalam Pulau Pinang. Mereka akan takut, macam-macam effect akan berlaku, jadi ini orang kata tak wajar dilakukan kerajaan terhadap rakyat sendiri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -