Ada rakyat sanggup bayar untuk dapat vaksin

Tan Sri Annuar Musa
- Advertisement -

KOTA BHARU: “Mati itu ketentuan Allah, tetapi ikhtiar lawan penyakit wajib kita buat,” kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, dengan pengambilan vaksin tersebut sekurang-kurangnya ia dapat membantu ketahanan badan bagi melawan virus Covid-19.

Kata beliau ada di antara rakyat negeri lain sanggup membayar sehingga RM300 untuk mendapatkan vaksin.

- Advertisement -

“Sedangkan rakyat Kelantan hampir 10,000 tidak hadir untuk menerima suntikan vaksin untuk mereka.

“Guano (kenapa) jadi gitu set kito? Ada yang takut ke? Ada yang was-was ke, atau ada masalah tiada kereta nak pergi janji temu tersebut? Di Ketereh pun kita buko pusat cucuk vaksin.

“Covid-19 ini adik kakok, bukan boleh buat seloroh (jenaka), bahayanya dia sebab loni (sekarang) tiada tanda, sampai masa tidak boleh bernafas, peringkat serius, mati,” katanya pada rakaman video berdurasi hampir 10 minit di laman sosialnya hari ini.

Video yang dikongsi itu menggunakan loghat Kelantan sebagai usaha supaya lebih dekat dengan hati nurani rakyat negeri itu.

Oleh itu beliau yang juga ahli parlimen Ketereh berharap rakyat negeri itu seharusnya mengambil peluang tersebut memandangkan rakyat negeri lain sedang berebut untuk menunggu giliran masing-masing.

Menurutnya semua lapisan masyarakat tidak kira golongan warga emas atau muda, kecil dan besar agar hendaklah segera berdaftar dan hadir pada temu janji.

“Jangan bimbang, tiada apa yang berlaku, jangan takut untuk ambil vaksin. Kalau orang lain cucuk, tapi kita tidak cucuk, sama juga. Cucuk dan amalkan penjagaan SOP belako.

“Semoga selepas semua selesai kita bulih kelik asal, supo dulu. Maka semua pihak kena bagi kerjasama, doa banyak-banyak pada Allah SWT untuk diselamatkan. Jangan maroh ko ambo ambo kecek gini,” katanya pada akhir rakaman tersebut. – HARAKAHDAILY 27/5/2021

- Advertisement -