Peniaga lega PKP 3.0 kerajaan buka operasi niaga

- Advertisement -

KANGAR: Peniaga kecil masih boleh menarik nafas lega kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) yang bermula 12 Mei hingga 7 Jun membenarkan operasi perniagaan termasuk di pusat beli-belah dan kedai makan dibuka daripada jam 8 pagi hingga 8 malam.

Seorang peniaga kecil di sini, Mohd Fahmi Othman, 29, berkata waktu perniagaan terpaksa diubah mengikut kesesuaian prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

“Oleh kerana jam 8 malam sudah perlu tutup jualan, segelintir peniaga mulai mengawalkan operasi jualan. Jika sebelum ini, peniaga fokus dari petang hingga malam, sekarang perlu ubah jadual jualan dari pagi atau tengah hari sehingga jam 8 malam,” katanya ketika ditemui di sini.

- Advertisement -

Menurutnya juga kebanyakan peniaga sudah mencuba nasib memulakan perniagaan di awal pagi sehingga waktu yang ditetapkan.

Mohd Fahmi Othman

“Kawan-kawan saya yang menjual burger, takoyaki, ayam gunting sudah mulakan perniagaan mulai semalam dengan waktu dan normal baru ini, hasilnya belum pasti, tapi kami tetap mencuba mencari rezeki.

“Semoga PKP 3.0 masih ada sinar rezeki untuk para peniaga, walaupun kami sudah menjangkakan jualan agak perlahan, tetapi cukuplah kami dapat meneruskan jualan dan mencari rezeki cukup-cukup makan pun sudah dikira satu kesyukuran memandangkan situasi sekarang,” ujarnya.

Perlis kini berstatus zon merah setelah mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Jabatan Kesihatan Negeri Perlis memaklumkan perkara itu menerusi satu kenyataan dengan sebanyak lapan kes positif dicatatkan pada 23 Mei lalu.

Pada kenyataan sama, jabatan tersebut berharap penduduk di negeri itu terus berwaspada dan meningkatkan kawalan kendiri untuk terus mengamalkan SOP tidak kira di mana mereka berada serta membuat pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera. – HARAKAHDAILY 26/5/2021

- Advertisement -