Stok vaksin terhad, pengeluar berurusan kerajaan

- Advertisement -

SWASTA susah nak dapat vaksin dari pasaran terbuka kerana pada masa sekarang pengeluar hanya deal dengan kerajaan-kerajaan. Ada sesetengah negara pun minta tolong Malaysia untuk bantu dapatkan vaksin kerana masalah mendapatkan bekalan vaksin. Ini adalah kerana bekalan vaksin di seluruh dunia masih sangat terhad dan belum stabil.

Presiden Persatuan Hospital Swasta , Dr Kuljit pernah cadangkan supaya swasta diberi kebenaran bawa masuk vaksin. Kita kata kalau mereka boleh dapatkan bekalan kita boleh bantu mudahkan urusan. Masalahnya belum ada yang sahih dan betul. Yang banyak cuma janji mulut tanpa bukti komitmen dari pengeluar. Yang mengaku ejen tunggal memang ramai terutama pelbagai jenis vaksin dari China.

- Advertisement -

Akhirnya mereka minta nak beli yang bekalan yang dibeli oleh kerajaan. Untuk sekarang kerajaan belum benarkan guna stok vaksin kerajaan kerana akan ganggu program vaksin percuma untuk rakyat. Tak baik kita wujudkan senario orang ada duit dan mampu bayar dapat vaksin awal di klinik swasta sedangkan vaksin itu kerajaan jual stok yang sepatutnya program vaksin percuma untuk rakyat.

Sekarang 157 PPV beroperasi dengan kadar 80 ribu suntikan sehari. Mulai Jun, bekalan vaksin lebih stabil, kita sudah dapatkan pengesahan komitmen dari pengeluar vaksin dengan jadual penghantaran yang telah dipersetujui dari awal. Jun, Julai, Ogos stok sangat banyak.

Kerana itu kesemua 500 PPV termasuk lebih banyak PPV mega akan mula dibuka. Jun, sasaran vaksinasi 150 ribu sehari. Julai 200 ribu sehari. Insya-Allah hujung tahun ini 70 peratus selesai. Masalah kita di Kelantan dan Terengganu terutamanya, masih ramai terpengaruh dengan dakyah antivaksin. Kononnya bercanggah akidahlah, agenda musuh Islamlah, konspirasilah. Yang tukang sebar pun jenis sekolah tinggi pun ada. Duduk pertikai mufti, kerajaan konon tunduk kepada WHO.

Faedah pengambilan vaksin sudah semakin jelas. Memang ia didapati mengurangkan dengan drastik kadar jangkitan, mengurangkan gejala jikapun dijangkiti (tak jadi teruk, tak payah masuk hospital, cuma kuarantin diri sahaja) dan mengurangkan kadar kematian. Ini yang sedang berlaku di negara yang telah lebih maju kadar vaksinasinya.

Kadar jangkitan di kalangan frontliners di Malaysia turun mendadak selepas fasa 1 vaksinasi melibatkan frontliners selesai. Kelmarin tular berita menyedihkan satu keluarga yang dijangkiti COVID-19 . Ramai yang meninggal. Salah seorang ahli keluarga, polis frontliners yang telah menerima 2 dos vaksin lengkap, alhamdulillah selamat (positif dengan gejala ringan) walaupun bergaul dengan keluarganya yang lain. Banyak lagi contoh sebegini.

YB DATO’ HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -