Sikap sambil lewa patuh SOP punca wabak merebak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Langkah memperketatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) akan melakar kejayaan sekiranya mendapat kerjasama dan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) oleh semua anggota masyarakat.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, langkah itu akan berjaya apabila penguatkuasaan pematuhan SOP mendapat kerjasama penuh rakyat.

Katanya, tidak dapat dinafikan sikap sambil lewa orang ramai terhadap pematuhan SOP menjadi punca utama merebak wabak Covid-19 sehingga memberi kesan kepada kesihatan masyarakat.

- Advertisement -

“Setakat ini pada pengamatan saya sikap cuai dan tidak kisah dalam kalangan orang ramai menjadi punca utama merebaknya Covid-19.

“Kita perlu bertimbang rasa dan simpati kepada frontliners yang menggadai nyawa untuk melindungi kita dan keluarga. Berilah sedikit simpati dan rasa kasihan kepada mereka,” katanya di sini.

Baru-baru ini Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta rakyat supaya melakukan sendiri sekatan pergerakan atau ‘self-lockdown’ untuk menyekat peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 yang menyaksikan bilangan kes harian mencecah lebih 6,000 kes setiap hari.

Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara mulai 12 Mei hingga 7 Jun 2021.

Manakala PKP 3.0 pula berkuatkuasa mulai 25 Mei hingga 7 Jun ini di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Langkah kerajaan itu turut mendapat sokongan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Prof Dato’ Dr Subramaniam Muniandy dilapor berkata tindakan itu langkah tepat pada masanya.

“Langkah terbabit memang dinantikan persatuan kerana isu berkenaan sudah banyak kali disuarakan sejak peningkatan mendadak kes Covid-19,” katanya seperti dilapor media. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -