Kain rentang ‘kerajaan gagal’ didalangi parti politik

- Advertisement -

MACHANG: Kain rentang ‘kerajaan gagal’ yang digantung individu tidak bertanggungjawab di beberapa lokasi di Kelantan sejak minggu lalu perlu disiasat memandangkan ia berlaku ketika penularan Covid-19.

Ahli Jawatankuasa Bersatu Machang, Mohd Bakri Rosdi berkata, perbuatan tersebut dipercayai didalangi penyokong parti politik tertentu bagi memburuk imej kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya menggesa pihak polis membuat siasatan mengenai siapa dalang yang bertanggungjawab selain mengenakan tindakan tegas terhadap individu atau kumpulan yang sudah merancang perbuatan tersebut.

- Advertisement -

“Ini merupakan satu perbuatan tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab yang dipercayai dilakukan bukan seorang individu, malah dilakukan satu kumpulan.

“Kami berharap pihak polis melakukan siasatan,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Machang di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Polis Kelantan sentiasa memantau tindakan pihak tertentu yang mengantung kain rentang ‘kerajaan gagal’ di beberapa lokasi di Kelantan sehingga tular di media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat dilapor berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat mengenai kejadian yang berlaku di Jalan Kuala Krai, Jalan Rantau Panjang dan sebahagian di Machang.

Menurutnya polis memandang serius perkara itu kerana kain rentang yang digantung jelas menyalahi peraturan serta tidak mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain memburukkan kerajaan.

Mohd Bakri juga berkata, pihak tampil membuat laporan supaya siasatan dapat dilakukan pihak polis terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab tersebut. – HARAKAHDAILY 25/5/2021

- Advertisement -