Penularan kritikal, PKP 3.0 perlu disokong semua pihak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat perlu bersama kerajaan dalam memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mampu memutuskan penularan Covid-19 yang kini berada pada tahap kritikal.

Menurut Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad, beliau yakin tindakan kerajaan melaksanakan PKP 3.0 itu sudah mengambil kira beberapa aspek, keperluan dan jangkaan kesan yang lebih kurang risikonya berbanding PKP 1.0 sebelum ini.

Justeru itu katanya, kerajaan tidak melaksanakan total lockdown, namun memperkasakan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan pematuhannya.

- Advertisement -

“Kerana sekiranya total lockdown berlaku, dia boleh memberi kesan buruk terhadap 2.8 juta rakyat yang bekerja sendiri ataupun yang bekerja ambil upah harian.

“Manakala 53 peratus isi rumah dan premis perniagaan pula akan terjejas teruk akibat daripada satu bulan total lockdown.

“Kajian statistik menunjukkan 82 peratus daripada pekerja swasta hanya mempunyai dua bulan sahaja wang simpanan, dan 1/3 daripada isi rumah tidak mampu mengekalkan perbelanjaan melebihi sebulan,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Untuk rekod, kajian menunjukkan bahawa sepanjang PKP 1.0 pada tahun lalu, 68 peratus perniagaan berdepan waktu yang sukar dengan tiada jualan atau hasil direkodkan.

Manakala 42.5 peratus perniagaan mengambil masa selama 6 bulan untuk pulih semula akibat daripada PKP 1.0 dan 2/3 perniagaan dilaporkan mempunyai jumlah tunggakan hutang selama 6 bulan.

Tambah Ustaz Idris, walaupun kerajaan menyarankan self lockdown, kerajaan dijangka akan mengubah SOP mengikut kepada kesesuaian dan kadar jangkitan berdasarkan saranan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ahli-ahli yang pakar.

“Semua ini mereka ambil kira dan mungkin akan mengambil pendekatan dan strategi yang berbeza pada masa akan datang.

“Untuk self lockdown ini, satunya, kalau kita hendak keluar juga, pastikan ia hanya urusan penting sahaja. Kedua, kalau hendak keluar juga, kita perlu memakai pelitup muka yang baik.

“Kemudian, pastikan kita hanya menuju kepada destinasi yang berkepentingan sahaja tanpa singgah di mana-mana dan pastikan kita menjaga penjarakan sosial. Itu sahaja cara untuk memutuskan rantaian Covid-19 ini,” kata beliau.

Tambah Ustaz Idris, beliau berharap bahawa langkah berjaga-jaga yang diambil ketika ini akan membawa kebaikan pada masa akan datang.

Jelasnya, apa yang berlaku hari ini adalah sesuatu yang berlaku atas izin Allah SWT.

“Buatlah macam mana sekalipun, kalau kita tiada kesedaran diri dan masyarakat, maka sudah tentulah kita tidak dapat kurangkan masalah Covid-19 di negara kita,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 24/5/2021

- Advertisement -