PAS Terengganu kumpul RM3.7 juta dana #Aid4Palestine

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: PAS Terengganu melalui PAS Kawasan dan Dewan-dewan parti itu telah berjaya membuat kutipan dana #Aid4Palestine sebanyak RM3.7 juta melepasi sasarannya RM1.7 juta.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Dato’ Husain Awang berkata, PAS Terengganu telah menggemblengkan tenaga bersama-sama Khidmat Malaysia, PASRelief dan NGO (Badan Bukan Kerajaan) bagi mengumpul sebanyak mungkin dana untuk membantu Palestin.

Menurutnya, PAS negeri, kawasan dan dewan-dewan termasuk Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) telah bekerja keras bagi menyahut gagasan yang dilancarkan PAS Pusat.

- Advertisement -

“Saya sungguh teruja dan berbangga kerana dapat bersama dengan rakyat Terengganu pada malam ini.

“Saya sebagai pemimpin dan ketua parti (PAS) peringkat negeri (Terengganu) mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada rakyat umumnya. Juga kepada seluruh ahli-ahli dan mendukung PAS kerana sedia bangkit dan bangun bersama pejuang di Gaza dan Palestin.

“Saya mengumumkan jumlah yang dikumpulkan oleh Perhubungan PAS Terengganu untuk dana #Aid4Palestine sebanyak RM100,000 dan apabila dicampur keseluruhan sumbangan dari PAS Kawasan-kawasan dan Dewan-dewan, berjumlah RM3.693,366,49 dan ini tidak termasuk sumbangan daripada kerajaan negeri, Menteri Besar, Ahli Exco Kerajaan Terengganu, ADUN dan NGO-NGO,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Tabung Kemanusiaan Palestin Peringkat Negeri Terengganu secara live di HarapTV, Kuala Terengganu, malam tadi.

Menurut Dato’ Husain, sudah tentu seluruh dunia akan bangga dan kagum dengan semangat jihad dan pengorbanan yang ditunjukkan oleh rakyat Terengganu dan Malaysia sekalian.

“Terima kasih kepada Dewan Ulamak, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda, Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Ameerah dan terima kasih juga kepada Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan-kawasan yang telah bekerja keras menjayakan misi Perhubungan PAS Terengganu, bagi menyahut gagasan yang dilancarkan PAS Pusat.

“Ini menunjukkan kebersamaan kita dengan masyarakat Islam dan rakyat Terengganu dengan perjuangan rakyat di Palestin,” jelasnya.

Pada majlis itu, diumumkan PAS Kawasan Marang paling tinggi jumlah sumbangannya iaitu sebanyak RM671,055,00 dan di tempat kedua, PAS Kemaman (RM584,482,00), ketiga pula PAS Kuala Terengganu (RM523,694,00), keempat PAS Kuala Nerus mengumpul RM480,000.00 dan PAS Kawasan Dungun menyumbang sebanyak RM418,000,00 di tempat kelima.

Selain BPPNT, Dewan Ulamak PAS Terengganu menyumbang sebanyak RM20,000 manakala, Dewan Pemuda PAS Terengganu (RM35,000), Dewan Muslimat PAS Terengganu (RM17,000), DHPP (RM1,000) dan Ameerah sebanyak RM17,000 untuk dana Palestin tersebut.

Harakah dimaklumkan, ini tidak termasuk sumbangan daripada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dianggarkan berjumlah RM453,000 kutipannya. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -