Isteri tidak sangka suami terbabit kemalangan maut

Foto daripada media sosial.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Faridah Husin, 49, terkejut dan tidak menyangka suaminya terlibat dalam kemalangan maut di Simpang Empat Kampung Sireh di sini, petang semalam.

“Saya tidak sangka suami saya terlibat dalam kemalangan, saya masih terkejut dengan apa yang berlaku,” luah beliau ketika ditemui di tempat kejadian.

Bagaimanapun katanya, beliau turut dikejutkan mengenai kejadian itu daripada seorang rakan dengan mengatakan dimaklumkan mengenai kejadian itu daripada seorang rakan ada kebakaran berlaku dua kilometer dari kediamannya.

- Advertisement -

Katanya, ketika itu dia belum mengetahui yang suaminya terlibat dalam kemalangan berkenaan dan maut di tempat kejadian.

Menurut beliau pada mulanya anaknya pulang dan memberitahu ia bukan kereta milik arwah, namun anak sulungnya, Wan Nur Hidayah, 22, sekali lagi ke lokasi sebelum mengesahkan ia adalah kenderaan ayahnya.

Faridah yang masih dalam keadaan terkejut, memberitahu kali terakhir berjumpa suami pada 4 petang ketika mangsa menghantarnya ke rumah saudaranya di Kampung Tanjung Chat di sini, dan berlalu pergi tanpa sebarang perlakuan yang mencurigakan.

“Suami saya sering kali berulang alik setiap petang dari Kampung Sireh ke Kampung Kota kerana akan berpindah rumah tidak lama lagi,” katanya.

Bagaimanapun, keterujaan untuk pindah ke rumah baharu mereka berubah sekelip mata dengan tragedi yang menyayat hati hari ini.

“Saya cuba terima dan reda dengan apa yang menimpa kami ini, namun pasti mengambil masa untuk membiasakan diri tanpa suami di sisi,” katanya.

Katanya juga, suaminya yang berusia 49 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sejak kebelakangan ini.

Arwah meninggalkan seorang balu, dua anak perempuan dan seorang lelaki. Kereta yang dinaiki arwah terbakar dan meletup pada kejadian tersebut. Arwah meninggal dunia di tempat kejadian. – HARAKAHDAILY 22/5/2021

- Advertisement -