Revolusi dan harga diri

- Advertisement -

ENTAH bagaimana, pada pagi Jumaat yang berkat ini, ketika di sana-sini orang sedang berbicara mengenai kekalahan Israel yang diumumkan pada tengah malam tadi, tiba-tiba saya teringatkan kawan-kawan. Mereka tersisih dari arus perdana, terkeluar dari mainstream perjuangan kerana sering bercanggah pandangan. Kini mereka masih bersuara, dan lantaran suara mereka itulah, mereka dipinggirkan.

Saya sebenarnya teringatkan Ustaz Abdul Mu’izz Muhammad, teringatkan Ustaz Ahmad Hakimi Othman, teringatkan Abang Hamdan Ahmad, teringatkan Ustaz Mohd Adlan Mokhtaruddin, teringatkan Ustaz Muhammad Bazli Badarudin dan banyak lagi. Teringat juga kepada Cikgu Non Pak Kayuh. Sebenarnya tidak ramai orang berani bersuara untuk menyanggahi pandangan orang yang berkuasa. Banyak yang hanya berani berkata-kata jika selari dengan selera sang ketua. Tetapi mereka yang tersingkir selalunya mempunyai pandangan kedua. Pandangan kedua bukan salah, tetapi menyanggahi nafsu serakah orang yang dibantah.

- Advertisement -

Mereka sebenarnya ingin melakukan reformasi supaya gerakan dan perjuangannya sentiasa di landasan yang benar. Musuh-musuh fikirannya melihatnya seakan-akan mereka sedang menaja sebuah revolusi yang mahu mengubah secara radikal seluruh bahtera perjuangan. Kerana itu mereka dibenci, dimusuhi dan difitnahi. Mereka diperlaku seumpama pendukung Wahabi, walhal mereka memberi respon kerana fikiran mereka ligat menginsafi dan mengoreksi diri. Terkeliru! Hendak melakukan revolusi atau menjadi mangsa revolusi? 

Saya teringat nasib Socrates, sang guru kepada Plato. Fikiran-fikiran falsafahnya selalu menyanggahi amalan-amalan kepemimpinan tidak telus dan korup dalam sistem demokrasi Yunani. Akhirnya, kerana pandangan sisinya yang bebeza itu, dia dijatuhkan hukum mati dengan dipaksa meminum racun ketika usianya sudah lebih 70 tahun. Ketika dia berpeluang untuk melarikan diri, dia memilih untuk mematuhi undang-undang kerana mahu memberi tahu dunia, bagaimana dia dizalimi kerana berkata benar.

Tiba-tiba saya teringat lagi. Bapa Indonesia, Sukarno telah berkata kepada para penentangnya, ‘Bahawa sesiapa saja yang tidak menyesuaikan diri dengan arus Revolusi, dia akan dilanda revolusi!’ Ternyata sesiapa sahaja yang tidak mendukung ‘sang penguasa’, dia akan menjadi mangsa seperti orang Palestin di bumi yang dijajahi Israel. Mengampu lebih menguntungkan sesiapa sahaja, berbanding menyuarakan kebenaran yang dilihat batil oleh mereka yang berkuasa. “Berkata benar di hadapan penguasa yang zalim,” itulah sebesar-besar jihad kata Nabi S.A.W.

Hal ini membawa saya teringat satu peristiwa lagi. Kini ingatan saya teralih kepada Prof Hamka. Ketika Hamka diajukan oleh Sukarno supaya memilih di antara menjadi pegawai kerajaan yang dibayar gaji atau aktif dalam politik bangkangan, Hamka telah memilih meninggalkan jawatan besar dan gaji besar itu, kerana ingin berkata dengan kebenaran. Lalu beliau berkata kepada anak-anaknya:

“Tidak, kita tidak akan mati kerana tidak lagi menerima gaji dan beras dari pemerintah. Tuhanlah yang menjamin kehidupan makhluk-Nya. Tapi ingat, kita harus menjaga maruah dan martabat diri kita di tengah masyarakat.”

Setiap orang yang mahu menyatakan kebenaran, mestilah berani mempertahankan maruahnya dengan terus berpihak kepada kebenaran. Apabila kita membisukan diri di hadapan kebenaran, tiada bezanya dengan kita berpihak kepada kebatilan. Itulah maruah yang digadaikan!

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -