Polis nafi penduduk ‘lari’ enggan saring Covid

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis Kelantan menjelaskan dakwaan yang mengatakan seramai 200 penduduk Kampung Pauh Lima, Bachok meninggalkan kampung kerana enggan menjalani ujian saringan Covid-19 adalah palsu.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat hari ini mengesahkan perkara tersebut tidak benar.

- Advertisement -

Katanya, beliau terkesan dengan satu hantaran yang tular di media sosial melalui aplikasi WhatApps berhubung perkara itu.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan berita palsu.

“Pada masa yang sama sentiasa berwaspada dengan penyebaran maklumat atau diragui kesahihannya,” katanya pada satu kenyataan.

Beliau juga berkata, tindakan boleh diambil pihak berkuasa jika terdapat perlakuan kesalahan di bawah Akta Komunikasi Dan Multimedia (AKM) 1998.

“Oleh yang demikian Polis Kontinjen Kelantan menegaskan kepada orang ramai untuk tidak menyebarkan sebarang berita tidak benar tanpa merujuk kesahihannya kepada pihak yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Baru-baru ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Pauh Lima, Mukim Gunong, Bachok dan Kampung Pauh Lima, Mukim Banggu, Kota Bharu.

Pelaksanaan PKPD itu sehingga 1 Jun membabitkan seramai 1,032 penduduk.

Berikutan itu polis membuat 10 sekatan jalan raya (SJR) iaitu enam di Bachok dan empat di Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -