TUMPAT: Kira-kira 300 penduduk Kampung Pulau Beluru membanjiri pusat saringan Covid-19 yang dibuka di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Pulau Beluru bagi menjalani ujian swab.
Penduduk mula berkumpul di dewan terbuka SRK Pulau Beluru seawal jam 8 pagi mengikut pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.
Ujian serupa juga dijalani penduduk kampung Teluk Renjuna serta Pantai Haji Nik Mat.
Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kepulauan Tumpat mukim Sungai Pinang yang melibatkan Teluk Renjuna, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pantai Suri akan dilaksanakan bermula esok.
PKPD itu dilaksanakan berikutan penularan Covid-19 dan penilaian risiko oleh pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Seorang penduduk, Nik Fazilah Nik Mat Nawi, 39 berkata, beliau kesal sikap segelintir penduduk yang ingkar dengan arahan sehingga menyebabkan orang ramai turut terkena jangkitan wabak Covid-19.
“Kita sehabis mungkin jaga diri dan patuh SOP yang ditetapkan kerajaan, malah sejak wabak ini berlaku saya sendiri tidak pergi mana-mana kecuali ada urusan yang penting.
“Saya harap setiap kita jagalah SOP dan tidak perlu untuk berkunjung ke mana-mana sama ada untuk ziarah sanak saudara dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas selesai menjalankan ujian saringan Covid hari ini. – HARAKAHDAILY 21/5/2021