Kelantan pungut RM3.6 juta Tabung Palestin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM3.6 juta bagi mengisi Tabung Kemanusiaan Palestin sejak kempen kutipan dilancarkan 13 Mei lalu.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, jumlah itu melalui Tabung Serambi Mekah sebanyak RM1 juta, Badan Perhubungan PAS Kelantan (RM2.1 juta) dan pertubuhan bukan kerajaan (RM545,000).

Menurut beliau dana tersebut meliputi sumbangan Sultan Kelantan, Menteri Besar dan anggota Exco Kerajaan Negeri, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Adun dan rakyat Kelantan.

- Advertisement -

“Semua sumbangan ini khasnya melalui Tabung Serambi Mekah adalah dari dana pimpinan kerajaan negeri, wakil rakyat, anak syarikat kerajaan negeri dan seluruh rakyat Kelantan termasuk di perantauan

“Ia akan disalurkan kepada kerajaan Malaysia melalui Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat atas solidariti dan sokongan menerusi tiga saluran kutipan derma tersebut,” katanya pada sidang media sempena pengumuman sumbangan itu di Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

Turut hadir Setiausaha PAS Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi dan Pengerusi Tabung Aid4Palestine Kelantan Ustaz Wan Roslan Wan Hamat.

Ahmad yang juga Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri berkata, kutipan sumbangan terus diadakan sehingga 30 Syawal ini bagi fasa kedua selepas penyerahan sumbangan yang bermula 13 Mei lalu berakhir hari ini.

Jumlah keseluruhan yang dikumpul PAS Kelantan sebanyak RM2.1 juta termasuk disumbang PAS Pengkalan Chepa (RM225,738), PAS Bachok (RM211,586), PAS Pasir Mas (RM207,000) dan PAS Tumpat (RM206,626). – HARAKAHDAILY 21/5/2021

- Advertisement -