Tawar barang paling baik dan disayangi untuk dibida

Reaksi negatif pihak tertentu bersifat iri hati dan dengki

- Advertisement -

JERAI: Sumbangan dengan menawarkan kenderaan peribadi milik sebagaimana inisiatif dilakukan Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor sebenarnya menjadi satu contoh teladan untuk diikuti oleh ramai pihak.

Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah, Ustaz Mohd Azam Abd Samat berkata, Islam sendiri menuntut untuk memberi infaq sesuatu yang terbaik atau dikasihi sebagaimana terdapat dalam ayat 267 surah al-Baqarah.

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi,” ujarnya memetik pula ayat 92 surah Ali-Imran.

- Advertisement -

Menurut beliau, kereta Volvo tersebut dibeli Sanusi pada tahun 2018 dan berbelanja sendiri lebih RM25,000 melakukan banyak pembaikan di mana setakat ini kenderaan itu masih baik serba serbinya untuk digunakan.

Mohd Azam yang juga ADUN Sungai Limau berkata, malah jualan amal dengan menyumbang sepenuhnya bidaan itu ke Tabung #Aid4Palestine telah menjadi pembakar semangat kepada ahli-ahli PAS Kedah.

Katanya, dalam tempoh lima hari kutipan dari ahli-ahli dan pimpinan PAS Kedah sudah melebihi RM1.5 juta, tidak termasuk menerusi kerajaan, badan atau agensi kerajaan, NGO-NGO, institusi-institusi dan orang awam.

“Sepatutnya semua pakat bantu, bukan dengki dan iri hati atas usaha pihak lain yang bertujuan semata-mata membantu perjuangan saudara seagama di Palestin yang sedang ditindas,” ujar beliau.

Ustaz Mohd Azam mengulas demikian sebagai reaksi atas kecaman, perlekehan dan tuduhan dilemparkan pihak-pihak tertentu secara semberono di media sosial mengenai tindakan Sanusi membuka bidaan tersebut.

Bidaan yang dibuka bagi kereta Volvo XC60 3.0cc dengan nilai RM55,000 selama tiga hari itu menerima lebih 20 bidaan dengan akhirnya mendapat angka tertinggi RM150,000 yang diumumkan semalam.

Sanusi juga sebelum serahan telah melakukan beberapa pembaikan kecil serta membersih dan mengilatkan kenderaan itu sebaiknya sebelum diterima oleh pihak pembida. – HARAKAHDAILY 19/5/2021

- Advertisement -