Ko-Makmur rancang buka 300 pasar raya

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih RM1 juta dibelanjakan Koperasi Makmur Malaysia Berhad (Ko-Makmur) bagi pembinaan Wisma Makmur Gold di Jalan Tun Ismail, Kuantan yang dijangka beroperasi awal Jun ini.

Pengerusi Ko-Makmur, Hishamuddin Abdullah berkata, pelaburan itu membabitkan pembelian bangunan tiga tingkat akan menempatkan bahagian pengurusan, sumber manusia, pemasaran, akauntan, bilik ahli lembaga pengarah, kedai emas dan Ar-Rahnu.

- Advertisement -

Katanya, Wisma Makmur Gold kini lebih 80 peratus siap dan bakal beroperasi pada 1 Jun ini.

“Seramai 70 kakitangan akan bertugas mengikut kebolehan masing-masing. Wisma Makmur Gold mampu dijadikan pemangkin bagi meningkatkan pembangunan dan kemajuan koperasi serta meningkatkan lagi pelaburan emas di negara ini.

“Wisma ini juga turut menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) untuk pelanggan-pelanggan yang mahu membeli dan menggadai emas,” ujarnya di sini.

Tambahnya, perkhidmatan membaiki serta mencuci turut disediakan di wisma tersebut. Majlis perasmian pembukaannya dijangka dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Menurut Hishamuddin, wisma baharu itu bakal menjadi pemangkin dalam menjana ekonomi setempat dan berwawasan menjadi sebuah entiti bisnes yang menjana keuntungan bagi menyalurkan manfaat dan faedah kepada lebih 3,000 ahli.

Tambahnya, setakat ini Ko-Makmur mempunyai lima kedai emas Makmur Gold, masing-masing di Pahang, Kuala Terengganu, Selangor, Kelantan dan satu kilang pertukangan emas di Kota Bharu.

“Sementara itu Ko-Makmur juga berhasrat akan membuka sekurang-kurangnya 300 pasar raya MG Coop Mart di seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Setiap cawangan akan mempunyai kedai emas Makmur Gold. Ko–Makmur turut melebar sayap perniagaan menerusi penjualan ayam halal dan bersih di bawah Ayam Putih Makmur Gold manakala program kebajikan dikendalikan Makmur Care,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/5/2021

- Advertisement -