Penarik beca terima bantuan raya RM600

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sumber pendapatan golongan penarik beca di Kelantan dianggap tidak terjejas walau pun wabak Covid-19 melanda negara dan negeri itu sejak lebih setahun lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan Negeri Mejar (B) Dato’ Md. Anizam Ab. Rahman berkata, setiap hari mereka mendapat penumpang seperti biasa.

Katanya, walaupun Malaysia termasuk Kelantan tidak dikunjungi pelancong domestik atau antarabangsa disebabkan Covid-19, namun pelanggan sentiasa menanti mereka setiap hari.

“Kalau tidak ada penumpang yang menaiki beca mereka, barangan yang ditempah pelanggan pula dibawa ke destinasi tertentu setiap hari.

“Ada peniaga di Pasar Besar Siti Khadijah contohnya menggunakan khidmat beca untuk menghantar barang ke destinasi masing-masing,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada penarik beca yang diadakan secara pandu lalu semalam.

Seramai 19 orang daripada 25 penarik beca menerima sumbangan berkenaan yang diadakan di hadapan Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan.

Md Anizam berkata, pendapatan penarik beca tidak ketara terjejas walaupun tiada pelancong sama ada domestik atau antarabangsa ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada program berkenaan wang tunai sebanyak RM600 diberikan kepada golongan berkenaan di samping keperluan dapur bernilai RM70.

Sumbangan wang tunai tersebut diberikan melalui peruntukan kerajaan negeri untuk penarik beca sebanyak RM1,200 setahun yang dilaksana sejak tahun lepas.

“Baki sumbangan lagi akan diserahkan selepas ini. Enam penerima lagi tidak hadir pada sesi sumbangan itu akan disampaikan di rumah masing-masing.

“Saya bersyukur memandangkan penarik beca masih menjadi sebahagian kaedah pengangkutan yang masih bertahan di Kelantan sehingga hari ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan penarik beca supaya sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika mencari rezeki bagi mengekang rantaian Covid-19. – HARAKAHDAILY 12/5/2021

- Advertisement -