Sambut Aidilfitri secara sederhana, waspada

- Advertisement -

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah agar rakyat berkorban dengan tidak meneruskan amalan lazim Hari Raya seperti pulang ke kampung dan kunjung-mengunjung, demi mencegah wabak Covid-19 daripada terus merebak sehingga sukar dikawal.

Menurut hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office menyatakan susulan meningkatnya jumlah kes baharu Covid-19 yang sangat berbahaya, baginda menyeru rakyat jelata agar menyambut Hari Raya kali ini dalam suasana sederhana dan waspada.

- Advertisement -

Baginda juga menzahirkan rasa yang amat bimbang dengan angka kes jangkitan baharu dan kematian di negeri ini yang semakin meningkat setiap hari.

Baginda turut berpesan supaya rakyat jangan mengambil mudah tentang bahaya wabak tersebut dan terus peka dengan situasi terkini di lokasi masing-masing.

Menurut hantaran itu lagi, baginda mahu setiap individu yang perlu keluar ke tempat awam untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan khususnya memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan pemakaian pelitup muka pada setiap masa.

Baginda juga bertitah tidak mahu melihat lebih banyak kematian akibat wabak berkenaan dan menyeru rakyat agar sama-sama membantu pihak berkuasa untuk menghentikan penularan wabak ini sepenuhnya.

Pada masa sama, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah turut berkenan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1442 Hijrah kepada seluruh umat Islam khususnya di Selangor dan di Malaysia amnya.

“Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin. Duduk di rumah, jangan berhimpun, berdoa hentikan wabak,” titah baginda. – BERNAMA

- Advertisement -