Lebih 1,300 kenderaan diarah berpatah balik semalam

KUANTAN: Sejumlah 1,333 kenderaan yang cuba merentas negeri di seluruh negara telah diarahkan berpatah balik semalam, kata Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar.

Beliau berkata terdapat daripada mereka yang melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) dengan borang kebenaran yang tidak mempunyai tandatangan dan cap daripada pihak polis.

Advertisement

“Mereka ini ada yang mencuba nasib, mungkin mereka rasa ada anggota polis yang akan terlepas pandang dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau SJR di Tanjung Lumpur di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali.

Beliau berkata sebanyak 361 Sekatan Jalan Raya (SJR) telah dilaksanakan susulan rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran polis bermula hari ini membabitkan lebih 6,500 anggota pasukan itu di seluruh negara.

 Katanya, menerusi SJR polis mengesan pelbagai taktik dan helah dilakukan oleh masyarakat antaranya menggunakan pas kerja untuk melepasi sekatan polis sedangkan mereka hendak pulang ke kampung untuk beraya selain tidak mempunyai surat kebenaran polis.

 Ditanya mengenai tindakan individu yang membakar penghadang dan kawat duri yang didirikan oleh pihak polis berikutan berang laluan tikus itu ditutup, beliau berkata semua pihak harus mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“Ada yang tidak puas hati dan ambil tindakan sendiri jadi saya seru kepada mereka sila patuhi undang-undang, langkah berkenaan diambil semata-mata untuk memutuskan rantaian COVID-19, penduduk diminta bersabar,” katanya.

Media hari ini melaporkan akibat terlalu marah laluan tikus ditutup, segelintir penduduk di Besut, Terengganu bertindak liar dengan membakar penghadang dan kawat duri yang telah didirikan oleh pihak polis pada Ahad.

Sementara itu, Abd Rahim berkata pihaknya menerusi Op Benteng saban hari telah menggagalkan penyeludupan mercun dan bunga api ke dalam negara ini.

Tanpa mendedahkan butiran tangkapan dan rampasan beliau berkata, kegiatan itu bukan sahaja berlaku di sempadan Malaysia dan Thailand tetapi turut melibatkan beberapa negeri antaranya Negeri Sembilan dan Johor. – BERNAMA