Hubungan dagang Itali-Malaysia meyakinkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Duta Itali ke Malaysia Cristiano Maggipinto positif bahawa dagangan dua hala Itali dan Malaysia akan berkembang tahun ini walaupun terdapat penurunan disebabkan pandemik Covid-19.

Menurutnya, pada 2020, dagangan kedua-dua negara mencatatkan hanya 7.5 peratus penguncupan, lebih rendah berbanding penurunan 11.6 peratus dalam keseluruhan perdagangan antara Itali dan rantau ASEAN.

Eksport Malaysia ke Itali juga mengalami sedikit penurunan sebanyak 2.1 peratus berbanding tahun lalu.

- Advertisement -

“Menurut tinjauan dan angka antarabangsa, bukan hanya Malaysia, tetapi seluruh rantau mungkin akan menjadi yang pertama kembali mengalami pertumbuhan selepas pandemik.

“Unjuran ekonomi untuk Asia Tenggara sangat positif, jadi kami optimis, syarikat Itali dan Eropah dapat memanfaatkan kerjasama dengan Malaysia dan negara-negara lain di dunia,” katanya dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini.

Maggipinto berkata hubungan dagang antara Malaysia dan Itali berada di landasan kukuh, berdasarkan angka dari 2015 hingga 2019, disediakan Institut Statistik Pusat Itali (ISTAT).

Menurutnya kenaikan 33 peratus telah dicapai dalam tempoh itu, dengan pertumbuhan melebihi 32 peratus dalam eksport Malaysia (US$1.3 juta) dan lebih 33 peratus untuk import (US$1.4 juta).

Pada 2019 sahaja, dagangan Itali-Malaysia melebihi US$2.7 bilion.

Hampir sepertiga eksport Malaysia ke Itali terdiri produk pertanian, khususnya minyak sawit, diikuti plastik dan bahan getah serta produk elektrik dan elektronik.

Antara eksport utama Itali ke Malaysia ialah mesin dan peralatan industri, produk elektronik dan alat elektro-perubatan, pesawat penerbangan, automotif, produk kimia dan farmaseutikal, peralatan dan perkakas rumah, barangan pengguna seperti makanan dan minuman, pakaian dan kasut serta barang kemas.

“Terdapat banyak ruang untuk meningkatkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi,” katanya  sambil menambah komuniti dan syarikat Itali yang ada di Malaysia meningkat dua kali ganda dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Menurut tinjauan kedutaan jumlah syarikat Itali kini mencecah 110 berbanding 50 pada 2012.

Kilang STMicroelectronics di Muar, dengan lebih 4,000 pekerja Malaysia, antara sumbangan Itali dalam pembangunan ekonomi Malaysia. – BERNAMA

- Advertisement -