Covid-19: Sentiasa patuh SOP, elak penularan varian baharu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Berikutan wujud penularan varian baharu, orang ramai dinasihatkan sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan kerajaan membabitkan amalan mencegah penularan pendemik Covid-19.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata, ia susulan kes pertama varian India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 menerusi kemasukan seorang individu kerakyatan India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), membabitkan kes mempunyai perjalanan ke Mumbai.

“Adalah difahamkan bahawa jangkitan Covid-19 baharu ini merupakan jenis varian yang dikatakan mempunyai potensi untuk menular dengan pantas sekali dalam tempoh masa yang singkat.

“Ia boleh menjangkiti orang ramai kerana potensinya untuk bermutasi dengan cepat.

- Advertisement -

“Varian daripada negara-negara luar iaitu daripada Afrika Selatan, United Kingdom, Nigeria dan India itu telah dikesan dan telah tersebar ke 17 buah negara termasuklah negara kita.

“Di Malaysia beberapa kes telah dilaporkan berhubung Covid-19 mutasi berganda tersebut antaranya di negeri Perak, Kelantan dan Selangor,” ujarnya kepada HarakahDaily hari ini.

Beliau yang juga merupakan pengamal perubatan menyarankan orang awam tidak melibatkan diri dalam sebarang jenis aktiviti atau perhimpunan sosial, terutamanya golongan warga emas.

“Saya menasihatkan seluruh rakyat Malaysia yang ada pada hari ini, pada bulan Ramadan ini banyak aktiviti-aktiviti yang melibatkan pertemuan rakyat khususnya umat Islam sama ada dalam majlis iftar dan juga dalam solat jemaah khususnya solat terawih.

“Hendaklah dinasihatkan untuk terus menjaga SOP, pakailah mask, bawalah pembasmi kuman, atau lakukanlah pembersihan tangan sekerap yang mungkin dan jagalah penjarakan jika melakukan aktiviti-aktiviti tersebut.

“Dan tolonglah elakkan daripada bersalaman dan bersentuhan antara satu sama lain khususnya kepada warga Malaysia yang mempunyai masalah kesihatan dan lebih-lebih bagi mereka yang berumur 65 tahun atau 70 tahun ke atas yang mempunyai tahap imuniti yang rendah.

“Golongan ini dinasihatkan untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang menghimpunkan orang ramai khususnya ketika melakukan ibadat, cukuplah dengan melakukannya di rumah bersama ahli keluarga yang ada,” saran beliau lagi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi II Lajnah Penerangan dan Media Baru turut menggesa seluruh rakyat Malaysia supaya memberikan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan membendung penularan wabak Covid-19.

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di negara republik berkenaan, sekali gus dibimbangi menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Mengenai varian Afrika Selatan B.1.351, kes pertama kali dikesan di Perak dan Kelantan membabitkan dua kluster, selain terdapat tujuh kes lain dikesan di Selangor.

Selain itu, terdapat pertambahan tiga kes baharu Covid-19 dijangkiti varian B.117 dikesan di Selangor dan Sabah menjadikan kes dijangkiti varian itu sehingga ini sebanyak lapan kes. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -