Atap rumah tercabut ketika hendak berbuka puasa

- Advertisement -

JERLUN: Ketika penduduk bersiap untuk berbuka puasa petang semalam tiba-tiba rumah mereka tercabut bumbung akibat diterbang angin kencang.

Beberapa rumah penduduk rosak antaranya di Kampung Pida 13, Pida 14 dan Batu 6, Jalan Sanglang. Pada kejadian begitu pantas itu sebanyak 17 rumah didapati rosak.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Jerlun, Dr Abdul Ghani Ahmad berkata, keadaan agak kelam kabut ketika kerana kejadian berlaku hampir waktu berbuka puasa.

“Pihak PAS kawasan amat bersimpati terhadap mangsa kerana ada di antara mereka tiada tempat untuk bermalam kerana sebahagian besar rumah rosak dan basah ditimpa hujan,” kata beliau ketika melawat mangsa ribut di sini.

Hadir sama ahli-ahli jawatankuasa PAS Jerlun, PAS Cawangan dan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK) Dun Kota SiPuteh.

Dr Abdul Ghani juga berkata, PAS Jerlun turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada mangsa terlibat sebagai tanda simpati bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung mereka.

Beliau turut merakam ucapan takziah kepada mangsa dan berharap mereka bersabar dengan ujian Allah lebih-lebih lagi di bulan Ramadan sekarang.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Pida 13 yang mahu dikenali sebagai Karim berkata, beliau buntu tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika ribut melanda.

Katanya, ruang rumah dan bilik tidur rosak akibat kejadian tersebut. – HARAKAHDAILY 4/5/2021

- Advertisement -