MN terus diperkasa melalui kerjasama program

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Program agihan bubur lambuk kerjasama Assabiqun PAS dan Veteran Umno di kawasan Bandar Tun Razak, semalam jelas menggambarkan hubungan persaudaraan Islam serta hubungan akrab antara mereka.

Sebanyak 500 pek bubur lambuk diagihkan kepada penduduk di sekitar kawasan Bandar Tun Razak sempena Program Ihya’ Ramadan Muafakat Nasional (MN) kawasan berkenaan.

Program kerjasama antara Assabiqun PAS dan Veteran Umno itu melibatkan seramai 35 orang ahli yang terdiri daripada 10 wakil daripada Assabiqun PAS, manakala selebihnya wakil Veteran Umno.

- Advertisement -

Pengerusi Assabiqun PAS Kawasan Bandar Tun Razak, Haji Jalius Khalid berkata, program itu merupakan program sulung yang dilaksanakan sempena bulan Ramadan di bawah jalinan MN dan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.

“Ini adalah pertama kali yang dilakukan oleh Assabiqun PAS dan Veteran Umno di seluruh Malaysia sempena Program Ihya’ Ramadan dan di Bandar Tun Razak adalah permulaannya.

“Insya-Allah dengan permulaan ini jalinan hubungan antara PAS dan Umno di bawah MN akan cuba diperkukuh dan diperkasa berdasarkan piagam yang telah dimeteraikan.

“Assabiqun dan Veteran Umno umpama saudara kandung yang tidak dapat dipisahkan dan ini ialah pakatan yang diinginkan selama ini demi Islam dan negara yang kita cintai, insya-Allah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada HarakahDaily selepas mengagihkan bungkusan bubur lambuk kepada penduduk setempat di kawasan itu.

Beliau yang juga Naib Yang Dipertua PAS Bandar Tun Razak memaklumkan, pihaknya dengan kerjasama Veteran Umno akan mengadakan jamuan bersempena Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

“Kita sama-sama doa, semoga MN dan Perikatan Nasional (PN) menjadi asas dalam menyatukan perpaduan Islam dan juga negara kita,” harapan beliau.

Sementara itu, Pengerusi Veteran Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Dato’ Mohd Alias Abdul berkata, program itu diadakan bagi menzahirkan semangat kesepakatan yang kuat antara pihaknya dan Assabiqun PAS.

“Matlamat kita hari ini bukan sahaja bagi menunjukkan semangat ukhwah tetapi untuk tonjolkan bahawa kita Veteran Umno dan Assabiqun PAS menyokong penuh semangat MN.

“Kita akan tetap meneruskan dan memperkasakan semangat MN ini kerana kita yakin dan percaya dengan jalinan dan semangat ini akan mengangkat martabat agama, bangsa dan negara kita.

“Oleh kerana itu, apapun ribut yang berlaku dalam politik negara, apapun pandangan pucuk pimpinan di atas atau apapun pendirian mereka, kami akan tetap mempertahankan semangat MN,” ujar beliau.

Menurutnya, program tersebut bukan merupakan program julung kalinya yang diadakan tetapi telah melaksanakan pelbagai siri program, antaranya Program Ziarah Kasih.

“Program Ziarah Kasih ini adalah program telah kita buat banyak kali sebelum Covid-19 sehingga ke hari ini, yang mana kita menyantuni ahli-ahli Veteran Umno dan ahli-ahli PAS kawasan yang uzur dalam kalangan mereka dan kita berikan sumbangan.

“Kesan daripada lawatan ini amat bermakna sekali kerana umumnya ahli Veteran dan PAS yang kita kunjungi dan sanjungi, meskipun dalam keadaan uzur tetapi mereka tetap semangat memberikan sokongan.

“Mereka ingin lihat bahawa kesepakatan, jalinan dan muafakat ini dapat diteruskan dan diperkasakan dari masa ke semasa, ini kesan yang kita dapat,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 3/5/2021

- Advertisement -