Pelajar IPT dibenar pulang beraya di kampung

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kegusaran dan kehibaan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) untuk berhari raya bersama keluarga akhirnya terjawab selepas dibenarkan pulang.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memberitahu lebih 100,000 pelajar yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali Sarawak.

- Advertisement -

Menurut satu kenyataan perkara itu diputuskan pada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Oleh itu KPT menetapkan pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal.

Tarikh pergerakan pulang ke kampung ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

Difahamkan seramai 103,994 pelajar berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta orang.

Kata kenyataan itu pelajar diberi pilihan sama ada pulang ke kampung masing-masing atau kekal berada di kampus bersempena Hari Raya Aidilfitri.

Menurut laporan Bernama kebenaran tersebut selaras dengan kelonggaran yang diberikan MKN sebelum ini kepada sektor pendidikan.

“Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu kenderaan sendiri, dijemput ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan IPT.

“Bagaimanapun pergerakan menggunakan kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan,” kata KPT.

Menurutnya surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah serta tarikh pergerakan pulang dan kembali ke kampus bagi setiap pelajar akan disediakan IPT.

Oleh itu KPT meminta pelajar dan ibu bapa merujuk prosedur operasi standard (SOP) Pergerakan Pelajar IPT Pulang Sempena Cuti Perayaan Aidilfitri melalui portal rasmi KPT di www.mohe.gov.my.

Pelajar juga boleh menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -