Jangan ambil mudah gurauan rogol

Dato' Siti Zailah Mohd Yusof
- Advertisement -

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak memandang enteng isu gurauan keterlaluan seorang guru dan rakan terhadap pelajar perempuan di sekolah.

Timbalan Menterinya, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, kementerian itu kini sedang giat melakar draf untuk membuat pindaan terhadap Rang Undang-Undang Gangguan Seksual yang amat berkait rapat dengan isu yang berlaku sekarang.

- Advertisement -

“Isu ini di bawah bidang kuasa KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) dan sudah menjadi kes polis. Bagaimanapun KPWKM juga sudah mengarahkan pegawai-pegawai pelindung kita mengambil perhatian supaya jangan mengambil mudah.

“Isu ini ialah isu yang kita sekarang dalam draf, usaha untuk pindaan akta gangguan seksual. Jadi apabila akta berjaya diluluskan, maknanya isu-isu ini termasuk dalam akta itu.

“Kementerian tidak memandang sepi isu ini dan kita mengharapkan semua pihak dapat menghormati wanita,” ujarnya ketika ditemui di pejabat beliau, semalam.

Pada Isnin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mengesahkan pihaknya telah menerima dua laporan daripada pelajar sekolah berumur 16 tahun berkaitan dakwaan seorang guru bergurau seolah-olah menggalakkan perbuatan rogol.

Seorang pelajar mendakwa, kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat ketika sedang mengikuti mata pelajaran Pendidikan Jasmani dengan seorang guru lelaki.

Dakwanya lagi, pada mulanya kelas berjalan lancar dan mereka berbincang mengenai kesedaran gangguan seksual serta cara-cara menjaga diri ketika menghadapi gangguan tersebut, sebelum keadaan bertukar menjadi sebaliknya. – HARAKAHDAILY 29/4/2021

- Advertisement -