Covid-19: Pesakit simptom ringan boleh sebar dalam komuniti

Foto hiasan.
- Advertisement -

PENINGKATAN kes Covid-19 yang masih berlaku walaupun dalam tempoh satu tahun lebih pandemik ini berlaku meletihkan kita semua. Keadaan ekonomi yang makin merosot, dasar kerajaan yang dianggap flip flop semuanya menyebabkan kita semua bosan dan fed-up untuk menghadapi beban pandemik ini.

Untuk memahami pandemik ini, kita tidak boleh menyalahkan polisi kesihatan awam sahaja ataupun kegagalan kerajaan yang ada pada hari ini. Yang paling penting adalah untuk memahami epidemiologi penyakit Covid-19 dan terus berusaha untuk menghalang penyebaran penyakit.

- Advertisement -

Sun Tzu menyebut apabila kita kenal musuh dan diri sendiri, kita tak perlu takut dengan keputusan 100 perlawanan namun apabila kita tidak mengenal musuh dan diri sendiri kalah dalam setiap perlawanan.

Dari sudut kematian, epidemiologist mengukur kematian berdasarkan Case Fatality Rate (CFR), iaitu bilangan kes kematian disebabkan Covid-19 daripada bilangan keseluruhan kes Covid-19. Setakat ini, CFR dalam satu hingga tiga peratus di seluruh dunia, iaitu dalam 100 kes Covid-19, sama ada seorang ke tiga orang yang akan meninggal dunia. Walaupun CFR ini masih rendah dibandingkan dengan penyakit-penyakit yang lain seperti Ebola dan SARS, namun ia ada implikasi tersendiri.

Penyakit yang mempunyai CFR sebegini, lagi susah untuk dikawal kerana kita boleh berdepan dengan pesakit yang hanya ada simptom yang ringan di mana-mana. Mereka boleh menyebarkan penyakit ini dalam komuniti. Yang lebih membimbangkan walaupun kadar kematian rendah, namun ia boleh tersebar dan menjangkiti lagi ramai orang. Lihatlah apa yang berlaku di India sekarang dengan kadar jangkitan lebih 300,000 kes sehari.

Selain daripada itu, Covid-19 bukan sahaja menyerang sistem pernafasan, namun juga menyerang sistem pencernaan dan sistem saraf manusia. Yang membimbangkan pesakit Covid-19 yang kritikal, virus boleh menyerang sel-sel otak. Selain dari itu, sekarang ini ramai pakar yang mula memikirkan tentang kesan jangka masa panjang penyakit Covid-19 yang boleh menyebabkan komplikasi masalah pernafasan, masalah jantung dan pelbagai masalah lain daripada seluruh sistem tubuh. Ada kajian menunjukkan pesakit Covid-19 ada 60 peratus risiko meninggal dalam tempoh enam bulan berbanding populasi biasa.

Namun, separuh daripada pesakit Covid-19 tidak menunjukkan apa-apa simptom dan 1/3 lagi hanya ada simptom selsema biasa. Ini menyebabkan sebahagian daripada kita ambil mudah dan tak cakna pun pasal pencegahan Covid. Siap ada persatuan pengguna lagi yang buat sidang media dan semakan kehakiman terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana tidak sedar bahawa realitinya Covid-19 boleh menyebabkan masalah yang besar kepada keadaan kesihatan seseorang.

Dr Tengku Muhammad Fakhruddin

Yang paling mencabar, kebanyakan kes yang tiada simptom akan menjadi pembawa. Mereka menyebarkan virus ke mana-mana yang meningkatkan lagi kadar jangkitan Covid-19. Tempoh inkubasi virus dalam tubuh adalah dalam masa dua hingga 10 hari sebelum mana-mana pesakit mula menunjukkan simptom, tetapi virus ini boleh tersebar dan menjangkiti orang lain dalam tempoh empat hari sebelum ada simptom. Inilah cabaran terbesar bagi mana-mana petugas kesihatan untuk mengawal pandemik ini. Keyboard Warrier sedap je duduk atas kerusi komen macam-macam, tapi tak pernah memahami betapa susahnya untuk mengawal pandemik Covid-19.

Sebab itu, tiada cara lain untuk memutuskan jangkitan melainkan, kita jaga SOP betul-betul. Pastikan pakai pelitup muka apabila keluar rumah. Jaga penjarakan fizikal dan pastikan liputan immunisasi dalam 80 peratus. Ingat Covid-19 bukan penyakit yang biasa kita masih tidak tahu apa kesan jangka masa panjang. Jangan kita bersorak hari ini, komen macam-macam lepas tu menyesal tak sudah pada masa mendatang. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -