Covid-19: Ambil iktibar kesan kebenaran rentas negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar mengingatkan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan operasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri terganggu.

Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sebarang insiden yang boleh menyebabkan operasi perniagaan berkenaan ditutup akan menimbulkan implikasi dan isu.

Katanya pengunjung Bazar Ramadan dan Aidilfitri hendaklah patuh SOP dan jaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka.

“Sedangkan bazar itu punca rezeki sebahagian daripada kita. Jadi janganlah ia tersekat dengan wujudnya kluster baharu Covid-19 pula.

- Advertisement -

“Dekat-dekat nak raya ni kalau bazar-bazar itu kena tutup akan timbul isu lain. Maka kita jaga diri sendiri dan jagalah juga orang lain,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Aman, hari ini.

Beliau turut mengingatkan aktiviti di masjid dan surau terus kekal seperti mana SOP yang ditetapkan dan jangan terlalu bebas sehingga mengabaikan normal baharu.

Mengenai larangan rentas negeri, Sanusi mahukan rakyat Kedah memahami tidak semua yang boleh dilakukan dahulu boleh diamalkan sekarang.

“Inilah dinamakan normal baharu. Rakyat kena faham. Lebih baik tak boleh balik asalkan nyawa masih ada berbanding boleh balik tetapi hilang nyawa,” tambahnya.

Berikutan itu beliau berharap orang ramai mengambil iktibar terhadap kesan kebenaran rentas negeri yang dibenarkan sebelum ini.

Kebenaran itu katanya mengakibatkan kes Covid-19 meningkat apabila berlaku pergerakan secara besar-besaran.

“Apa jua keputusan kerajaan adalah untuk kebaikan orang ramai,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 28/4/2021

- Advertisement -