Suplemen dan ubat tradisional: Merawat atau merosakkan?

- Advertisement -

oleh Ms Afizah Salleh dan Dr Aspalilah Alias

Mutakhir ini, kita sering mendengar pelbagai suplemen dan ubat yang dijual dipasaran seperti cendawan yang tumbuh. Pelbagai syarikat memperkenalkan produk masing masing serta mempromosi kelebihan produk yang dijual. Ada juga yang terlebih promosi kelebihan suplemen itu, sedangkan ia hanya suplemen atau makanan tambahan yang belum pasti keberkesanannya dalam merawat penyakit. Malangnya ada juga yang mengambil suplemen sebagai pengganti ubat tanpa merujuk kepada doktor perubatan tentang akibat pengambilannya.

Suplemen dan ubat tradisional biasanyadi jual di kedai-kedai jamu, kedai sing seh dan di tepi-tepi jalan atau pasar malam. Malah banyak juga suplemen yang di jual menjadi sangat laku dan meletop hingga pengasasnya menjadi jutawan. Terdapat juga produk yang menjadi asas jualan langsung dan multilevel marketing kemudian disertai oleh beribu-ribu orang sebagai ejen atau penjual produk.

Bersesuaian dengan namanya suplemen atau makanan tambahan, ia bukanlah ubat. Mungkin boleh mencegah tetapi ia bukan ubat yang dapat mengubati seseorang yang sudah ada penyakit.

Kajian saintifik tentang kesannya pada badan dan kesan sampingan juga tidak dilakukan secara farmakodinamik dan farmakokinetik. Biasanya pengeluar suplemen akan menggunakan testimoni untuk menjual produk mereka. Pesakit pula akan membeli dengan rela hati dengan harapan penyakit mereka akan sembuh. Akibatnya jika ada berlaku kesan yang tidak diingini atau penyakit semakin teruk, pihak pengeluar produk tidak dapat dipersalahkan.

Untuk pengeluaran ubat yang digunakan di hospital, kajian saintifik dan pelbagai peringkat ujian dijalankan untuk mengetahui keberkesanan, kesan ubat termasuk kesan sampingan. Sebelum ubat boleh dikeluarkan, terdapat 5 fasa kajian klinikal yang perlu dilalui. Fasa 0 adalah melibatkan hanya beberapa orang sukarelawan dan pemberian dos ubat yang sedikit untuk memastikan tiada kesan buruk yang akan berlaku. Kemudian fasa pertama pula melibatkan 20 hingga 80 sukarelawan yang sihat untuk mengetahui tahap dos yang boleh diambil tanpa kesan yang serius, bagaimana reaksi tubuh terhadap ubat dan cara terbaik pemberian ubat. Seterusnya barulah ke fasa dua di mana ubat diberikan kepada lebih ramai peserta yang mempunyai penyakit berkaitan dengan ubat yang dikaji. Pada waktu ini, pemerhatian diteruskan sehingga beberapa bulan atau tahun untuk memastikan tiada kesan sampingan yang lain kerana kesan ubat terhadap individu tidak sama.

Kajian daripada fasa dua ini akan memberi idea bagaimana fasa ke tiga kan dilakukan dan hanya 33% ubat boleh pergi ke fasa seterusnya. Dalam fasa ke 3, lebih ramai pesakit akan dilibatkan hingga mencecah 3 ribu orang dan pemerhatian dilakukan hingga bertahun-tahun. Dalam fasa ke 3, pemerhatian dilakukan lebih terperinci, kajian secara rawak untuk mengurangkan bias dan perbandingan dengan ubat sedia ada dilakukan. Ubat mestilah sekurang-kurangnya menunjukkan kesan yang sama dengan ubat sedia ada dari segi keberkesanan dan keselamatan sebelum boleh dipasarkan. Pada waktu ini, biasanya hanya 25-30% yang akan dapat ke fasa seterusnya. Akhir sekali fasa ke 4, di mana ia melibatkan beribu-ribu peserta dan memakan masa bertahun-tahun. Lebih banyak informasi tentang kesan jangka panjang, keberkesanan dan kegunaan lain dapat dicerap dalam fasa ini.

Ini menunjukkan bukanlah mudah untuk mengeluarkan satu jenis ubat untuk kegunaan umum. Jika ada kesan yang tidak diingini berlaku selepas dipasarkan, ubat-ubat ini masih boleh ditarik dari pasaran. Pesakit yang terlibat boleh mendapat rawatan pampasan jika perlu. Dan ada pihak yang boleh dipertangung jawabkan berbanding dengan produk suplemen dan ubat tradisional. Tiada kajian tentang keberkesanan dan kesan sampingan. Walaupun ada produk yang berdaftar dengan FDA ( Food and Drug Administration ) , tetapi di bawah kategori makanan bukannya ubat. Pembeli selalu terkeliru tentang hal ini dan menganggapnya sebagai ubat. Apatah lagi cara pengiklanan penjualan produk mengatakan boleh mengubat pelbagai jenis penyakit kronik dan kanser. Suplemen juga bukan makanan. Ia tidak boleh diambil secara rutin bertahun-tahun, setiap hari 3 -5 kali sehari seperti makanan.

Ada juga penjual produk yang tidak bertanggungjawab mencampurkan ubat dalam produk mereka tetapi tidak ditulis pada label. Contoh mencampurkan paracetamol (ubat demam), steroid yang memberikan kesan sihat dan bertenaga tetapi sangat banyak kesan sampingannya, Viagra yang boleh menyebabkan tekanan darah menurun dan berbahaya pada seseorang yang ada sakit jantung. Amphetamine pula sejenis dadah yang memberikan rasa khayal dan seronok yang melampau tetapi juga menyebabkan nadi menjadi laju, tekanan darah meningkat dan serangan jantung. Walaupun ubat-ubat ada antaranya boleh sahaja dibeli di farmasi, tetapi pengambilan tanpa pengetahuan akan menyebabkan pengguna tidak sedar akan kesan samping yang berkaitan dan boleh diambil secara berlebihan.

Satu lagi masalah dengan suplemen dan ubat tradisional ini adalah apabila ia menyebabkan pesakit lari dari temujanji dengan doktor, pesakit berhenti makan ubat yang disarankan oleh doktor dengan alasan makan ubat hospital menyebabkan rosak buah pinggang dan hati. Sakit yang dialami semakin melarat dan akhirnya mendapat komplikasi yang teruk. Jika pesakit ada kanser pada tahap ringan, setelah mendapatkan rawatan tradisional, dia akan datang semula bila kanser sudah merebak dan tidak boleh dirawat lagi.

Bukanlah semua suplemen dan ubat tradisional salah dan tak boleh diambil. Ia boleh jadi komplimen kepada perubatan moden. Tetapi sikap tidak bertanggungjawab penjual produk yang amat dikesali sehingga memberi kesan kepada rawatan dan kesihatan orang ramai.
Firman Allah SWT dalam Surat Al Baqarah ayat 195 yang bermaksud “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, karena sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

Orang-orang yang tidak menjaga kesihatan termasuk dalam golongan orang yang menjatuhkan diri dalam kebinasaan. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa menjaga kesihatan kita, pastikan ubat atau suplemen yang diambil itu betul betul baik atau sebaliknya. Minta nasihat doktor tentang ubat atau suplemen yang diambil. Sayangilah organ dalaman kita supaya tidak dirosakkan oleh suplemen yang diambil yang tidak mengikut dos yang sepatutnya atau tidak mendapat kelulusan dari pihak berwajib. Wallahualam.

- Advertisement -

Ms Afizah Salleh adalah Pakar Perunding Pembedahan Am di Hospital Pakar Annur dan Dr Aspalilah Alias adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -