Ahli PAS perlu lazimi solat berjemaah, membaca Al-Quran

- Advertisement -

BUKIT GANTANG: Ahli-ahli PAS disaran melipatgandakan amal ibadah sepanjang Ramadan ini dan berusaha untuk istiqamah meneruskan amalan-amalan tersebut walaupun selepas Ramadan berakhir, kata Yang Dipertua PAS Kawasan Bukit Gantang, Ustaz Muhammad Faisal Abdul Rahman.

Tambah beliau, ahli-ahli PAS juga digalakkan untuk solat berjemaah, membaca Al-Quran dan mengamalkan zikir Al-Mathurat seiring dengan dengan status ahli-ahli PAS sebagai pejuang Islam.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ceramah sempena Sambutan Nuzul Al-Quran peringkat Kawasan di Pusat Tarbiah PAS Cawangan Pekan Trong, dekat sini, pada Sabtu.

- Advertisement -

Ustaz Muhammad Faisal dalam masa sama turut mengajak semua umat Islam merebut ganjaran besar yang disediakan oleh Allah SWT sepanjang bulan Ramadan dengan menggandakan amalan sedekah dan kerja-kerja kebajikan.

Jelasnya, di peringkat PAS Kawasan Bukit Gantang sendiri telah memperuntukkan lebih RM100,000 dalam program Sumbangan Kasih Ramadan selain menguruskan agihan beras fidyah sebanyak 6 tan.

“Kita juga akan menyalurkan sumbangan khas kepada guru-guru PASTI dan SRITI, Jabatan Amal Malaysia serta amilin-amilin PAS di peringkat Kawasan.

“Walaupun kita berada di dalam kerajaan, gerak kerja kebajikan tetap kita teruskan dan tidak boleh sekadar mengharapkan bantuan atau sumbangan daripada kerajaan Pusat dan negeri semata-mata,” ujarnya.

Hadir sama dalam majlis berkenaan, Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan, Ustaz Zulkefly Ahmad, Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Haji Rahim Ismail dan Pengerusi Lajnah Tarbiah dan Modal Insan PAS Kawasan, Ustaz Rushdi Ismail.

Sementara itu katanya, parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) akan mengadakan perjumpaan dalam masa terdekat bagi membentuk sebuah Jawatankuasa di peringkat Parlimen selaras dengan pelaksanaan di peringkat Pusat dan negeri.

“Kita berharap dengan terbentuknya Jawatankuasa di peringkat Parlimen kelak akan dapat menyelaraskan gerak kerja politik, kebajikan dan kemasyarakatan kesemua parti-parti dalam PN.

“Waktu ini, setiap parti menjalankan program masing-masing dan kita berharap dapat menganjurkan program bersama di masa hadapan,” katanya. – HARAKAHDAILY26/4/2021

- Advertisement -