Belia optimis hala tuju kerajaan PN

Dr Wan Nik Wan Yussof
- Advertisement -

KOTA BHARU: Tinjauan Merdeka Center mendapati golongan belia lebih optimis terhadap hala tuju negara dan bersetuju dengan pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin berbanding kumpulan umur yang lain.

- Advertisement -

Berdasarkan tinjauan terbaru badan itu mendapati majoriti iaitu 53 peratus responden daripada golongan belia (21-30 tahun) percaya negara ini menuju “arah yang betul” berbanding kelompok usia lain yang tidak melebihi 50 peratus.

Golongan belia juga lebih cenderung, dibandingkan dengan kelompok usia yang lain, untuk berpuas hati dengan usaha kerajaan menangani wabak Covid-19, membantu mereka yang memerlukan, memiliki visi jelas untuk memulihkan negara dan menguruskan ekonomi.

Bagaimanapun sokongan terhadap perdana menteri dan kerajaan dalam kelompok terendah di antara mereka dalam lingkungan usia 51-60 tahun.

Selain golongan belia, mereka yang bekerja sama ada dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan dari pantai timur Semenanjung Malaysia, dan kumpulan berpendapatan rendah (di bawah pendapatan RM2,000 sebulan) juga lebih cenderung menyokong kepimpinan Muhyiddin.

Tinjauan dilakukan Merdeka Center antara 31 Mac dan 12 April lepas melibatkan 2,111 responden yang terdiri daripada 64 peratus kaum Melayu, 28 peratus kaum Cina dan lapan peratus kaum India.

Tinjauan dilakukan melalui talian tetap dan telefon bimbit dengan responden dipilih melalui pensampelan berstrata secara rawak untuk menggambarkan usia, kaum, jantina, dan kawasan pilihan raya.

Tinjauan itu dibiayai sendiri oleh Merdeka Center.

Secara keseluruhan, majoriti responden yang terdiri daripada pelbagai etnik, kecuali kaum Cina, berpuas hati terhadap prestasi kerajaan dalam menguruskan wabak Covid-19 pada 70 peratus, meningkat daripada 53 peratus pada bulan Januari.

Mengulas perkembangan itu agensi pengkaji sosiopolitik di Kelantan, Pusat Kajian Strategik (PKS) menyifat realiti yang berlaku sekarang, rakyat selesa dengan pendekatan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Pengarahnya Dr Wan Nik Wan Yussof berkata, pelbagai pakej bantuan yang dilaksanakan kerajaan ternyata banyak membantu rakyat, yang terhimpit dengan beban penularan Covid.

“Antaranya bantuan subsidi upah sebanyak RM13.53 bilion berupaya membantu 327,908 majikan bagi mengelakkan berlaku pembuangan kerja kesan pandemik Covid,” katanya di sini.

Sedangkan katanya pada era kerajaan Pakatan Harapan sering dicanang kerajaan tidak ada duit sehingga aset strategik milik orang Melayu cuba dijual.

Merdeka Center juga menjelaskan sebilangan besar responden (74 peratus) juga setuju ketika ditanya adakah kerajaan membantu mereka yang memerlukan.

Dari segi apakah kerajaan mempunyai “visi yang jelas” untuk “memulihkan negara”, 56 peratus setuju. Bagaimanapun, pendapat responden Melayu dan Cina adalah sangat bercanggah.

Walaupun 74 peratus responden Melayu setuju, hanya 18 peratus responden Cina berpendapat yang sama.

Sementara itu, 51 peratus responden menyatakan rasa puas hati terhadap usaha kerajaan menangani ekonomi – turun dari 65 peratus pada Mei tahun lalu ketika pakej rangsangan pertama yang merangkumi moratorium pinjaman diumumkan.

Ketika soalan terbabit ditanya pada bulan Januari – sebulan setelah Belanjawan 2021 diluluskan hanya 45 peratus responden menyatakan rasa puas hati. – HARAKAHDAILY 25/4/2021

- Advertisement -