Pelbagai tarikan jadikan PPAT mesra pengunjung

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Bagaikan berada di sebuah kompleks beli-belah sebaik melangkah masuk ke Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) yang terletak di Padang Hiliran, Kuala Terengganu.

Perasaan teruja dan kagum itu pasti dirasai semua pengunjung PPAT dek kerana banyaknya kemudahan canggih yang disediakan di bangunan yang tersimpannya puluhan ribu khazanah ilmu itu.

Ketua Unit Koleksi Tempatan dan Pendigitan PPAT, Majidah Che Ali berkata pelbagai transformasi dilakukan di bangunan PPAT sejak kebelakangan ini sesuai dengan perkembangan semasa agar PPAT sentiasa mendapat tempat dalam kalangan rakyat Terengganu untuk menjadikannya sebagai institusi rujukan ilmiah nombor satu.

- Advertisement -

“Kemudahan seperti bilik e-games, surau, bilik khas kanak-kanak yang dilengkapi pelbagai permainan dan bilik menyusu untuk golongan ibu langsung tidak menenggelamkan fungsi sebenar PPAT sebagai pusat informasi ilmu, sebaliknya semua kemudahan ini berjaya menjadikan PPAT sebagai perpustakaan awam yang sangat mesra pengguna.

“Semua kemudahan ini terbukti berjaya membantu pengunjung untuk meluangkan lebih banyak masa di PPAT terutama bagi golongan berkeluarga yang datang kerana PPAT menyediakan ruangan khas yang sesuai untuk semua peringkat umur dari kanak-kanak hinggalah dewasa,” katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Tidak hairanlah jika PPAT sentiasa menjadi tumpuan ramai rakyat Terengganu kerana menawarkan kemudahan interaktif dan canggih sehingga merekodkan kedatangan seramai 226,589 pengunjung pada tahun 2019 sebelum pandemik Covid-19 berlaku.

Tidak sekadar kemudahan fizikal, PPAT juga tidak ketinggalan untuk memperkasakan peranannya dalam akses maklumat yang lebih komprehensif dan terkini melalui proses pendigitan buku untuk memelihara dan memulihara koleksi perpustakaan agar ia boleh kekal sebagai khazanah warisan intelek.

Proses pendigitan yang dimulakan sejak tahun 2013 itu adalah satu proses menukarkan sumber khazanah perpustakaan seperti manuskrip dan kitab dari bentuk bercetak kepada bentuk digital yang boleh diakses secara dalam talian.

Majidah berkata koleksi seperti manuskrip lama tersebut mempunyai nilai sejarah yang sangat berharga dan ia perlu  dipulihara bagi tatapan generasi akan datang.

“Setakat ini kami terima bahan tersebut dari 11 tokoh anak negeri Terengganu yang menyumbang pelbagai koleksi sejarah merangkumi banyak cabang disiplin ilmu termasuk sejarah peradaban Islam, ketamadunan Terengganu, perundangan dan politik sejak awal abad ke-19.

“Namun, prosesnya tidak mudah kerana ada antara koleksi tersebut telah dimakan anai-anai. Ada juga tulisan tangan Jawi dan Arab lama yang perlu diterjemah terlebih dahulu untuk kami fahami isi kandungannya sebelum dibukukan semula untuk rujukan umum,” katanya.

Bagi memastikan kualiti koleksi itu dapat dibukukan semula dengan lebih sempurna, PPAT turut mendapatkan khidmat nasihat daripada Arkib Negara dan Lembaga Muzium Terengganu.

Menyedari betapa pentingnya memupuk minat membaca untuk generasi muda, PPAT giat mempromosikan beberapa segmen baharu di bangunan itu antaranya Infaq Buku yang membolehkan sesiapa sahaja menderma koleksi buku mereka untuk diambil golongan yang memerlukan.

Selain itu, sudut Galeri Penulis Terengganu turut menghimpunkan koleksi buku yang diterbitkan penulis Terengganu antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia 2021 pula, PPAT telah mengadakan pelbagai program dan aktiviti seperti Program Jom Baca, Kempen Pengecualian Denda dan Lewat Pemulangan Buku, Pertandingan Video Kreatif Perpustakaan Keluarga, Pertandingan ‘Selfie Wefie’ Pembacaan dan Bicara Buku ‘Abang Bomba Sayang Kamu’. – BERNAMA

- Advertisement -