Pusat, negeri ganding bahu tingkat bekalan air

- Advertisement -

KOTA BHARU: Usaha pihak tertentu menjadikan isu air di Kelantan sebagai modal politik tidak menjadi kerana usaha meningkatkan bekalan air dilakukan berterusan kerajaan negeri dan pusat.

- Advertisement -

Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan berkata, gangguan bekalan air di kawasan bandar hanya bersifat sementara.

Katanya gangguan itu berlaku kerana kerja-kerja penukaran paip sepanjang 60 kilometer di kawasan berkenaan sedang giat dijalankan.

Tambah beliau, kerja-kerja termasuk penggalian paip utama, ujian paip, pemasangan valve, fitting dan pili bomba serta pemasangan paip komunikasi dan tee-off sementara sudah siap dilakukan.

“Kerja pengaktifan paip baharu dan kerja-kerja agihan masih dijalankan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan Kota Bharu termasuk Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II.

“Bekalan air semasa sebanyak 1.5 Juta Liter Sehari (JLD) dibekal kepada tangka-tangki air HRPZ II dan sudah mencukupi dengan kadar keperluan hospital itu sekarang,” katanya di sini.

Pada 11 April lepas SPAN dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mengadakan perbincangan berkaitan bekalan air di Kelantan dan status bekalan air di HRPZ II.

Malah AKSB juga melaksanakan inisiatif jangka pendek dengan menyediakan enam hingga lapan lori tangki air setiap hari.

Manakala langkah jangka panjang menyiapkan projek Dedicated Pipe yang menghubungkan HRPZ II dengan tangki Merbau dijangka siap dalam masa terdekat.

“Pihak SPAN sentiasa komited dalam memastikan kelestarian bekalan air kepada pengguna di Kota Bharu.

“Kami juga meninjau di lokasi sekitar sambungan paip baharu ke HRPZ II. AKSB juga memberi taklimat berhubung perancangan dan usaha penyelesaian,” ujarnya.

Baru-baru ini pembangkang menyifatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tidak cakna kepada rakyat Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air.

Oleh itu, Shahir optimis kerja-kerja menaik taraf bekalan air yang dilakukan secara berperingkat mampu menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan. – HARAKAHDAILY 12/4/2021

- Advertisement -