Kerajaan perlu dipertahan demi penyatuan ummah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Hasrat PAS untuk menyatukan Melayu dan Islam di bawah penyatuan ummah bukan usaha mudah, malah memerlukan komitmen yang sangat tinggi dari pendukung parti.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, agenda tersebut terus dilaungkan walaupun parti itu terus mendapat kecaman kerana hubungan Umno dan Bersatu.

Beliau berkata, peranan PAS hari ini sangat besar bagi memastikan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berulang.

- Advertisement -

“PAS dalam Perikatan Nasional mempunyai hikmah, memudahkan kita untuk menjaga kemaslahatan rakyat, jadi kerajaan sekarang perlu dipertahankan demi penyatuan ummah.

“Jadi pandai-pandailah kita memainkan peranan masing-masing yang menunjukkan kita sebagai seorang ‘referee’ dalam padang, penonton marah dan pemain pun marah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada retreat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) anjuran Lajnah Penerangan PAS Pusat yang diadakan di sebuah hotel di sini hari ini.

Turut hadir Speaker Dun Kelantan, Dato’ Abdullah Ya’kub dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad dan anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Beliau yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, PRU15 akan diadakan dengan kaedah penyampaian maklumat yang berbeza selepas negara dilanda dengan penularan wabak Covid-19.

Lantas beliau meminta semua lajnah dalam PAS Pusat dan kawasan untuk memperkasakan lagi media massa atas talian dan sidang video untuk menyebarkan maklumat kepada masyarakat.

“Kita mesti gunakan penerangan dalam hadapi PRU15 nanti, normal masyarakat sudah berubah terutamanya selepas wabak Covid-19, atas talian dan sidang video menjadi keutamaan kita.

“Kerana suasana telah menukar corak ini, jadi harapan saya kepada anak muda boleh melakukan langkah baru, bagaimana untuk menyampaikan maklumat benar kepada masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu Kamaruzaman meminta ahli PAS peringkat akar umbi agar berperanan sebagai pendamai dalam konflik antara Umno dan Bersatu.

Beliau berkata, ahli PAS tidak sepatutnya turut serta dalam pertelagahan tersebut sehingga mewujudkan bibit perpecahan dalam kalangan pendukung parti yang menjadi teras Melayu dan Islam itu.

“Jadi sebarang tindakan yang diambil selepas ini perlu mengambil pendekatan untuk mendamaikan dan mententeramkan kalau Umno dan Bersatu tidak boleh duduk bersama.

“Maka banyak program kita pun kena sesuaikan antara kedua-duanya, maka jangan sesekali sampai mengambil pendekatan yang boleh mencederakan hubungan kita,” katanya.

Beliau berkata ahli perlu menyedari bahawa PAS tetap komited untuk meneruskan agenda perpaduan ummah walaupun mendapat kecaman di media sosial dengan kata-kata tidak enak didengar.

Malah Kamaruzaman berharap agar semua pihak dapat mengambil bahagian dalam merealisasikan agenda tersebut agar tragedi 22 bulan pemerintah PH tidak berulang kembali. – HARAKAHDAILY 11/4/2021

- Advertisement -