Peserta Dapur Hijau mampu jadi usahawan tani

- Advertisement -

KOTA BHARU: Peserta progam Dapur Hijau yang dirintis kerajaan negeri sejak 2015 berpotensi muncul sebagai usahawan tani yang berjaya.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Ustaz Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, sejak program itu dilaksanakan pada 2015 sudah ada peserta mampu mengeluarkan benih dan baja sendiri.

Katanya usaha itu dapat meningkatkan hasil pengeluaran pertanian sehingga mencapai skala komersil.

- Advertisement -

“Mereka mendapat ilmu pertanian dan mencuba mempraktiknya sehingga berjaya. Pengalaman itu mereka kembangkan kepada skala lebih besar.

“Jadi peserta yang berjaya menunjukkan peningkatan hasil dan sehingga menjana pendapatan sampingan, kita akan bantu sehingga muncul sebagai usahawan tani,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Hari Dapur Hijau peringkat negeri di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan Dato’ Abdul Fattah Mahmood dan wakil-wakil rakyat.

Tuan Mohd Saripudin juga berkata, kerajaan negeri akan membuat pemilihan peserta yang berjaya untuk diberi bantuan dalam bentuk input pertanian dan dana.

Selain itu memberi galakkan kepada peserta yang terdiri daripada suri rumah untuk melakukan persaingan sihat bagi menghasilkan benih sayur-sayuran berkualiti dan baja tumbuhan bermutu.

“InsyaAllah tahun hadapan kita akan memulakan pemilihan peserta yang layak untuk dibantu supaya melayakkan mereka menjadi usahawan tani yang berjaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/4/2021

- Advertisement -