Pemuda PAS Selangor dukung usaha basmi rasuah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Selangor bersedia menjadi pendahulu dalam apa juga program penerangan yang mampu mewujudkan sebuah sistem yang mencegah rakyat daripada terlibat dalam aktiviti rasuah.

Ketuanya, Ustaz Hanafi Zulkapli berkata pihaknya pasti akan komited mendukung segala tindakan terhadap usaha membasmi gejala rasuah yang membarah dalam kalangan ahli-ahli politik, kakitangan pentadbiran kerajaan dan kartel rasuah yang membawa barah buat negara.

Menurut beliau, Pemuda PAS negeri dikejutkan dengan berita tangkapan kumpulan atau kartel yang menjadi monopoli tender kerajaan yang melibatkan jumlah yang terlalu besar sehingga mencecah RM3.8 bilion yang menjalankan aktiviti itu sejak 2014.

- Advertisement -

“Tangkapan ini membuka mata semua rakyat bahawa amalan rasuah terlalu memberi kesan negatif yang cukup besar dalam pembangunan negara,” ujarnya semalam.

Ini, kata beliau pastinya akan merencat segala kerja pembangunan negara yang akan menghasilkan projek serta pembangunan yang tidak berkualiti akibat daripada suapan-suapan kepada kaki rasuah untuk terus mengecapi kehidupan mewah, tanpa mengambil kira kesusahan hidup rakyat.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Selangor mengucapkan jutaan tahniah atas tangkapan oleh pihak SPRM dan menegaskan tangkapan itu mungkin adalah permulaan kepada kebongkaran banyak lagi amalan rasuah yang melibatkan projek-projek tender kerajaan apatah lagi amalan ini telah berlaku terlalu lama.

Tambahnya lagi, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin kepada rakyat, semua parti komponen Kerajaan Perikatan Nasional perlu tegas dan menjadi pendahulu dalam menangani amalan rasuah yang telah bertapa di dalam sistem kerajaan.

“Inilah masanya Kerajaan PN mempamerkan kualiti pentadbiran yang bebas rasuah melalui para menteri dan timbalan menteri yang kini menjadi mata perhatian rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/4/2021

- Advertisement -