Covid-19: Kes aktif menurun, pusat pendidikan cetus kluster baharu

Berikut adalah rangkuman TERKINI mingguan mengenai Covid-19 dan perkara yang berkaitan di Malaysia serta di peringkat dunia dari 27 Mac hingga pukul 8:00 mlm 2 April 2021.

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melebihi 347,000. Di peringkat global, lebih 130 juta kes dilaporkan dengan lebih 2.8 juta kematian. Lebih 105 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh. Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kes harian baharu Covid-19 tiga angka yang dicatat pada 29 Mac sudah cukup membuatkan banyak pihak berasa amat lega dengan harapan menggunung tinggi dapat merentas negeri, meskipun kes kembali empat angka pada hari-hari berikutnya.

Jumlah 941 kes yang dicatat pada tarikh berkenaan adalah yang terendah dilaporkan sepanjang rangkuman mingguan Bernama (27 Mac-2 April 2021).

Rekod terakhir tiga angka kes harian baharu Covid-19 yang dicatat di Malaysia adalah pada 9 Disember 2020, iaitu 959 kes. (Pada tarikh berkenaan, Malaysia merekodkan sebanyak 76,265 kes positif Covid-19 dengan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 10,748 kes.)

Untuk tahun 2021 setakat ini, rekod kes harian baharu koronavirus maut ini yang paling rendah dicatat adalah pada 16 Mac iaitu 1,063 kes.

Perkembangan positif turut menunjukkan kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 semakin menurun dan setakat 2 April 2021, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 14,246 kes, sementara jumlah kes kumulatif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 347,972 kes.

Sehingga pukul 12 tengah hari Jumaat, 2 April 2021, kes harian baharu Covid-19 adalah sebanyak 1,294 kes dan menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada jumlah itu, 1,268 kes adalah penularan tempatan, melibatkan 897 orang warganegara (70.7 peratus) dan 371 orang bukan warganegara (29.3 peratus).

Hari ini sebanyak 26 kes import dilaporkan, iaitu sembilan (9) orang warganegara dan 17 orang bukan warganegara) berbanding semalam 20 kes (9 warganegara dan 11 warganegara).

Untuk rekod kes import yang dicatat sepanjang rangkuman mingguan ini adalah seperti berikut:-

5 kes (27 Mac), 9 kes (28 Mac), 8 kes (29 Mac), 8 kes (30 Mac), 2 kes (31 Mac), 20 kes (1 April) dan 26 kes (2 April).

Kes import yang tinggi dilaporkan pada 26 Mac 2021 iaitu sebanyak 32 kes (21 warganegara dan 11 bukan warganegara).

Dengan 347,972 jumlah kes kumulatif Covid-19, Malaysia masih kekal di tangga 45 dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19. Di hadapan Malaysia adalah Panama (355,499 kes), Slovakia (363,874 kes) dan Arab Saudi (391,325 kes).

Jumlah kes sembuh setakat 2 April 2021 adalah 1,442 kes, menjadikan jumlah kumulatif kes pesakit yang pulih daripada Covid-19 kini 332,443 kes (95.5 peratus).

Rekod kes harian baharu sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama 27 Mac hingga 2 April 2021 adalah seperti berikut:-

1,199 kes (27 Mac), 1,302 kes (28 Mac), 941 kes (29 Mac), 1,133 kes (30 Mac), 1,482 kes (31 Mac), 1,178 kes (1 April) dan 1,294 kes (2 April).

Rekod kes sembuh harian sepanjang rangkuman mingguan Bernama 27 Mac hingga 2 April 2021:-

1,257 kes (27 Mac), 1,127 kes (28 Mac), 1,097 kes (29 Mac), 1,148 kes (30 Mac), 1,070 kes (31 Mac), 1,377 kes (1 April) dan 1,442 kes (2 April).

Pantau kluster baharu, pusat pendidikan tambah kes

Sehingga Jumaat 2 April, jumlah kluster yang direkod dalam negara sebanyak 1,388 kluster dan 1,025 daripadanya ditamatkan. Ini menjadikan jumlah kluster yang masih aktif sebanyak 363 kluster dan 57 kluster daripadanya melaporkan pertambahan kes baharu.

Tiga kluster yang mencatat pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Tapak Bina Persiaran Freesia (76 kes), Kluster Tapak Bina Sunsuria (55 kes), dan Kluster Persiaran Cassia Selatan (55 kes).

Sebanyak 10 kluster baharu dilaporkan hari ini (2 April) iaitu tujuh (7) Kluster Tempat Kerja (KTK), dua (2) kluster komuniti dan satu (1) kluster kumpulan berisiko tinggi.

Untuk rekod, jumlah kluster baharu dan Kluster Tempat Kerja (KTK) sepanjang 27 Mac hingga 2 April 2021:-

Sabtu 27 Mac – 9 kluster (5 KTK) ; Ahad 28 Mac – 3 kluster (1 KTK) ; Isnin 29 Mac – 3 kluster (2 KTK) ; Selasa 30 Mac – 9 kluster (5 KTK ); Rabu 31 Mac – 13 kluster (7 KTK), Khamis 1 April – 6 kluster (5 KTK) dan 2 April – 10 kluster (7 KTK).

Sementara itu, perhatian perlu diberikan kepada kemunculan kluster yang membabit pusat pendidikan seperti yang dilaporkan Dr Noor Hisham pada 25 Mac lepas.

Menurut beliau, sepanjang 1 Januari 2021 sehingga 25 Mac 2021, terdapat sebanyak 15 kluster pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah.

Di samping itu terdapat lima (5) kluster yang melibatkan pusat tahfiz dan madrasah yang dilaporkan dalam tempoh hampir tiga (3) bulan ini.

Sepanjang tempoh rangkuman mingguan Bernama (27 Mac hingga 2 April), beberapa kluster yang melibatkan pusat pendidikan dilaporkan iaitu seperti berikut:-

Kluster Banjaran Gading (KTK), melibatkan daerah Kota Kinabalu di Sabah dan ia melibatkan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Banjaran, Kota Kinabalu. Sehingga 2 April 2021, lapan (8) kes dikesan positif Covid-19.

Kluster Jalan Bukit Nanas (KTK), melibatkan daerah Cheras, Titiwangsa dan Kepong di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Ia melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Bukit Nanas, Lembah Pantai dan setakat ini sembilan (9) kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Klustrer Wakaf Chagak (KTK), melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu. Kluster ini melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Mukim Wakaf Chagak, Kuala Nerus dan sebanyak sembilan (9) kes dikesan positif Covid-19 setakat ini.

Kluster Jalan Kong Kong (daerah Johor Bahru) di Johor, melibatkan sebuah institusi pendidikan yang terletak di Jalan Kong Kong, Pasir Gudang, Johor Bahru. Sehingga 27 Mac 2021, sebanyak lapan (8) kes dikesan positif Covid-19.

Kluster Seksyen 16, (daerah Hulu Langat dan Sepang) di Selangor, melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Seksyen 16, Bandar Baru Bangi. Sehingga 29 Mac 2021, sebanyak 18 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

Kluster Jalan Pinang Raja (daerah Petaling dan Klang) di Selangor, melibatkan kakitangan dan pelajar-pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Jalan Pinang Raja 18/2, Shah Alam. Sebanyak 25 kes dikesan positif sehingga 30 Mac 2021.

Kluster Hevea Scruciana (daerah Petaling dan Klang di Selangor, merujuk kepada lokaliti pusat pendidikan di mana penularan kes-kes dilaporkan berlaku iaitu Jalan Hevea Scruciana, Shah Alam, Petaling. Sebanyak 55 kes dikesan positif Covid-19 setakat 31 Mac 2021.

Kluster Jalan Rasmi (daerah Gombak, Hulu Langat, Hulu Selangor, Klang, Petaling, dan Sepang di Selangor serta daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur), melibatkan dua (2) buah pusat pendidikan dan nama kluster merujuk kepada lokaliti salah sebuah pusat pendidikan tersebut yang terletak di Jalan Rasmi 14, Taman Bukit Indah, Ampang. Setakat 31 Mac 2021, sebanyak 58 kes dikesan positif Covid-19.

Kluster Delima Baiduri (daerah Kuala Muda di Kedah), melibatkan sebuah pusat pendidikan yang terletak di Lorong Baiduri 3/2, Taman Delima, Sungai Petani. Sehingga 31 Mac 2021, sebanyak 10 kes dikesan positif Covid-19.

Perkembangan lain dalam negeri

Jumlah daerah di Semenanjung yang kembali kepada zon hijau adalah tujuh (7) seperti laporan KKM setakat 2 April 2021, iaitu Langkawi, Sik dan Yan (Kedah), Hulu Perak dan Kampar (Perak), Jelebu (Negeri Sembilan) dan Cameron Highlands (Pahang).

Mengenai perkembangan mutakhir Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Laporan Harian Pemberian Dos 1 Vaksin Mengikut Negeri) sehingga 1 April 2021 adalah seperti berikut:-

  • Dalam kurungan Jumlah Dos 2

Perlis 9,846 (5,610); Kedah 30,316 (15,300) ; Pulau Pinang 33,045 (11,563); Perak 49,996 (20,717) ; Selangor 69,852 (28,616) ; Kuala Lumpur 44,702 (23,899) ; Putrajaya 5,233 (3,682) ; Negeri Sembilan 24,690 (10,620) ; Melaka 13,758 (6,857) ; Kelantan 22,596 (15,618) ; Terengganu 24,516 (13,237) ; Pahang 33,693 (18,507) ; Johor 39,624 (18,696) ; Sabah 46,023 (21,262) ; Labuan 2,499 (2,287) ; Sarawak 48,079 (25,287).

Jumlah pemberian Dos 1 dan 2 adalah 740,226 (jumlah Dos 1 / 498,468 dan Jumlah Dos 2/ 241,758.

Laporan Harian Jumlah Pendaftaran Vaksinasi sehingga 1 April 2021 menunjukkan seramai 7,625,478 (31.40 peratus) individu, berusia 18 tahun ke atas telah mendaftar.

Dr Noor Hisham dalam catatan di Facebook peribadinya pada 2 April 2021 mengumumkan, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau Ro/Rt pada jangkaan mengikut kes seharian pada 2 April 2021 untuk seluruh negara kekal 0.97. Negeri mencatat Ro tertinggi ialah Pahang 1.29 dan paling rendah, Perlis 0.57.

Sementara itu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pada 30 Mac 2021, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan dari 1 April hingga 14 April 2021 bagi Selangor, Johor, Kelantan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, sementara untuk Sarawak, berkuatkuasa 30 Mac hingga 12 April.

Sepuluh buah negeri lain dikekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) iaitu Perlis, Kedah, Perak, WP Putrajaya, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan WP Labuan. Ia berkuatkuasa bermula 1 April 2021 sehingga 14 April 2021.

Beliau turut mengumumkan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membatalkan syarat pematuhan 30 peratus kehadiran pekerja di pejabat di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berkuat kuasa 1 April 2021.

Pembatalan syarat itu berikutan cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk memberi peluang kepada pihak pengurusan serta penyelia sesebuah syarikat beroperasi pada tahap maksimum.

Pergerakan rentas daerah dalam negeri (kecuali Sabah dan Sarawak) dibenarkan, bagaimanapun, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Malaysia masih berada di bawah Pengisytiharan Darurat bermula 12 Januari sehingga bulan Ogos 2021.

Perincian kes Covid-19 di Malaysia

Menurut perincian 1,294 kes positif Covid-19 yang dilaporkan KKM pada Jumaat 2 April 2021, sebanyak empat (4) buah negeri mencatat kes harian baharu Covid-19 tiga angka iaitu Selangor (455 kes), Johor (103 kes), Sarawak (217 kes) dan Pulau Pinang (139 kes).

Di Selangor, 185 kes daripada 455 kes adalah daripada kluster sedia ada dan kluster baharu, Kluster Industri Bukit Angkat dan Kluster Pekan Batu dan terdapat satu kes import;

Di Sarawak, 110 kes daripada 217 kes adalah daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan terdapat tiga (3) kes import; di Pulau Pinang, 69 daripada 139 kes baharu adalah daripada kluster sedia ada; di Johor, 52 kes daripada 103 kes adalah daripada saringan kontak rapat kes positif Covid-19 dan terdapat satu (1) kes import;

WP Kuala Lumpur 88 kes dan 20 daripadanya adalah kes import dan terdapat satu (1) kluster baharu; Kelantan 66 kes; Sabah 63 kes dan melaporkan tiga (3) kluster baharu; Pahang 57 kes; Negeri Sembilan 31 kes dan dua kluster baharu; Melaka 22 kes; Kedah 21 kes; Perak 12 kes; Terengganu lapan (8) kes; WP Putrajaya lima (5) kes; WP Labuan empat (4) kes dan Perlis satu (1) kes.

Sementara itu, lima (5) kes kematian dilaporkan hari ini iaitu dua )2) kes di Sarawak serta masing-masing satu (1) kes di Johor, Pulau Pinang dan Sabah. Kesemua kes adalah warganegara Malaysia.

Jumlah kes kumulatif kematian setakat 2 April 2021 adalah sebanyak 1,283 kes (0.37 peratus).

Untuk rekod, kes kematian sepanjang tempoh rangkuman 27 Mac hingga 2 April 2021:-

2 kes (27 Mac ), 4 kes (28 Mac), 5 Kes (29 Mac), 5 kes (30 Mac), 7 kes (31 Mac), 6 kes (1 April) dan 5 kes (2 April).

Sebanyak 168 kes di tempatkan di Unit Rawatan Rapi dan 78 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Statistik global Covid-19

Jumlah kes Covid-19 global terkini (worldometer) adalah sebanyak 130,337,218 kes (rangkuman minggu lalu 126,216,432 kes) dengan 2,842,850 kematian (minggu lalu 2,769,667 kematian). Jumlah pesakit sembuh seramai 105,010,639 orang (minggu lalu 101,826,192 orang).

Sebanyak 216 negara dilanda pandemik Covid-19 dan 10 buah negara teratas dalam kedudukan senarai ini adalah Amerika Syarikat, Brazil, India, Perancis, Rusia, United Kingdom, Itali, Turki, Sepanyol, dan Jerman.

Pecahan kes Covid-19 dan jumlah kematian adalah seperti berikut:-

Amerika Syarikat 31,246,420 kes (566,616 kematian),

Brazil 12,842,717 kes (325,559 kematian),

India 12,303,131 kes (163,428 kematian),

Perancis 4,695,082 kes (95,976 kematian),

Rusia 4,563,055 kes (99,633 kematian),

United Kingdom 4,350,266 kes (126,764 kematian),

Itali 3,607,083 kes (109,847 kematian),

Turki 3,357,988 kes (31,713 kematian),

Sepanyol 3,291,394 kes (75,541 kematian),

Jerman 2,854,137 kes (77,244 kematian).

Negara China, di mana bermulanya wabak Covid-19 pada penghujung Disember 2019 di tempat 92 dengan 90,226 kes. Angka kematian kekal 4,636.

Di samping Malaysia, dalam kalangan negara di Asia Tenggara, Indonesia, Filipina dan Myanmar turut menyertai senarai 87 buah negara yang mencatat lebih 100,000 kes Covid-19.

Indonesia di tangga 20 minggu ini dengan 1,523,179 kes dan 41,151 kes kematian. Filipina kekal di tangga 30 dengan 771,497 kes dan 13,320 kes kematian.

Myanmar di tangga 79 dengan 142,466 kes dan 3,206 kes kematian. Singapura di tangga 101 dengan 60,450 kes dan 30 kes kematian.

Sementara Thailand di tangga 116 dengan 28,947 kes dan 94 kes kematian; Vietnam di tangga 176 dengan 2,620 kes dan angka kematian kekal 35; Kampuchea di tangga 177 dengan 2,546 kes dan angka kematian meningkat kepada 16 kes.

Brunei di tangga 200 dengan 213 kes dan angka kematian kekal tiga (3) kes, sementara Laos masih 49 kes di tangga 207 dan sifar kematian.

Ruangan sisi

Latar belakang Covid-19

  • Penularan wabak Covid-19 yang pada awalnya dipanggil virus Wuhan berlaku ketika masyarakat Cina di seluruh dunia termasuk di China membuat persiapan untuk menyambut perayaan Tahun Baru Cina.
  • Virus dikesan di Wuhan, ibu negeri wilayah Hubei, China pada 31 Dis 2019 selepas WHO dimaklumkan terdapat beberapa kes radang paru-paru di bandar tersebut.
  • Menurut WHO, pihak berkuasa China pada 7 Jan lalu mengesahkan koronavirus yang baru dikenal pasti itu boleh tersebar daripada manusia kepada manusia.
  • WHO memberi nama rasmi virus “2019-nCoV” iaitu Covid-19, singkatan untuk Corona Virus Disease 19. Virus ini dilaporkan mempunyai komponen genetik yang paling serupa yang terdapat pada ular dan kelawar.
  • Pegawai kesihatan China mengenal pasti Pasar Huanan Seafood di pusat bandar Wuhan sebagai lokasi bermulanya penyebaran wabak ini kerana terdapat jualan membabitkan daging haiwan eksotik di pasar tersebut seperti musang, serigala, buaya, ular, tikus, burung merak, landak dan unta.
  • Laporan dari Wuhan pada Selasa 11 Feb menyebut data terbaharu berdasarkan penyelidikan membabitkan lebih 1,000 pesakit Covid-19 di China mendapati tempoh inkubasi virus itu boleh mencecah 24 hari, bukannya 14 hari seperti yang dipercayai sebelum ini.
  • Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac akhirnya melabelkan wabak penyakit Covid-19 sebagai pandemik.
  • WHO menyifatkan wabak penyakit Covid-19 sebagai 10 kali ganda lebih berbahaya daripada Influenza A H1N1atau lebih dikenali sebagai Selesema Babi (Swine Flu).
  • Wabak Selesema Babi berlaku antara Januari 2009 dan Ogos 2010 menyaksikan lebih 1.6 juta kes dikesan dengan 18,449 kematian. Ia mula dikesan di Mexico dan kemudiannya di Amerika Syarikat pada Mac 2009.
  • Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberi amaran pandemik Covid-19 akan mengheret ekonomi global kepada penguncupan ekonomi paling teruk sejak Zaman Kemelesetan The Great Depression.
  • Kes pertama 2019-nCoV di Malaysia disahkan pada 25 Jan membabitkan tiga (3) warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura pada 23 Jan.
  • Khamis 30 Julai genap enam bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mengisytiharkan Darurat Kesihatan Awam berikutan kebimbangan dunia terhadap jangkitan 2019 novel koronavirus yang dikenali kemudian sebagai Covid-19.
  • Pengumuman yang dibuat itu adalah yang ke-enam dibuat oleh Pertubuhan itu tetapi yang terburuk. Untuk rekod, pengumuman lalu ialah bersabit H1N1 (2009), Polio dan Ebola di Afrika Barat (2014), Zika (2016) dan Ebola di Republik Congo (2019).
  • Di UK, varian baru Covid-19 yang dikenali sebagai B117 dilaporkan 70 peratus lebih mudah merebak. Mula dikesan pada September 2020.
  • Afrika Selatan juga mengenalpasti varian baharu novel coronavirus, dirujuk sebagai “501Y.V2”. pada awal Oktober 2020. – BERNAMA