Jual Quran, air zamzam dan sakit tanda Allah sayang

- Advertisement -

Soalan:

1. Adakah betul haram jual beli Quran dan kalau betul haram bagaimana kita nak mempunyai Quran untuk kita baca?

2. Baru-baru ini saya ada terbaca sebuah tulisan menyebut air zamzam tidak boleh dibawa keluar dari bumi Mekah dan jika dibawa keluar nanti jadi hilang berkatnya. Betul atau tidak?

3. Benarkah dikata orang jika Allah sayang kepada kita maka Allah akan berikan kita kesusahan seperti sakit kemudian sebab sakit itulah dosa kita diampun supaya mati kita dalam keadaan tidak ada dosa?

- Advertisement -

Jawapan:

Jual beli Quran

Ulamak telah berselisih tentang hukum jual beli mushaf iaitu jumhur ulamak mengharuskan jual belinya dan sebahagian ulamak mazhab Hanbali menegahnya.

Berkata ulamak:

فقد اختلف أهل العلم في جواز بيع المصاحف فذهب الجمهور إلى جواز بيعها، ومنهم: المالكية والحنفية والشافعية؛ إلا أن الشافعية صرحوا بالكراهة، فيجوز عندهم بيع المصحف مع الكراهة. وذهب آخرون إلى المنع وهو قول الحنابلة.

Ertinya: “Maka sungguhnya telah berkhilaf oleh ulamak pada keharusan jual beli mushaf. Maka telah berjalan oleh jumhur ulamak kepada harus jual belinya iaitu ulamak mazhab Maliki dan Hanafi dan Syafie melainkan ulamak mazhab Syafie mengharuskan jualnya dengan kemakruhan maka di sisi mereka harus jual mushaf serta makruh. Dan telah berjalan oleh yang lainnya kepada menegah dan iaitu pendapat ulamak mazhab Hanbali.” (Kitab Mausu’atul Fiqhiyah/ Al-Fatawa As-Syar’iyah)

Sebahagian fuqahak mengharuskan jualnya sahaja dan mengharuskan belinya manakala sebahagian fuqahak yang lain mengharuskan jual dan belinya manakala sebahagiannya lagi memakruhkan jual dan belinya.

Berkata Imam Nawawi:

يصح بيع المصحف وشراؤه ولا كراهة في شرائه وفي كراهة بيعه وجهان لأصحابنا أصحهما وهو نص الشافعي أنه يكره ومن قال لا يكره بيعه وشراؤه الحسن البصري وعكرمة والحكم بن عيينة وهو مروي عن ابن عباس وكرهت طائفة من العلماء بيعه وشراؤه وحكاه ابن المنذر عن علقمة وابن سيرين والنخعي وشريح ومسروق وعبد الله بن زيد

Ertinya: “Dan tiada makruh pada membelinya (mushaf) dan pada makruh jualnya itu ada dua pendapat bagi Ashab kami. Pendapat yang paling sahih yang merupakan nas Imam Syafie sungguhnya ia makruh. Dan mereka yang berkata dengan tidak dimakruhkan jual belinya ialah Al-Hasan Al-Basri dan ‘Ikrimah dan Al-Hakam bin ‘Uyainah. Dan ialah yang telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. dan memakruhkan oleh satu golongan daripada ulamak jual belinya. Telah menghikayatkannya oleh Ibnu Al-Munzir dari ‘Alqamah dan Ibnu Sirrin dan An-Nakha’ie dan Syuraih dan Masruq dan Abdullah bin Zaid.” (Kitab At-Tibyan)

Dan ada diriwayatkan bahawa Abdullah bin Umar r.a. menegah akan jual beli mushaf.

Berkata Al-Hajawi Al-Hanbali:

وأما ما ورد عن عبد الله بن عمر ـ رضي الله عنهما ـ [يعني من منع بيع المصحف] فلعله كان في وقت يحتاج الناس فيه إلى المصاحف ، وأن المصاحف قليلة فيحتاجون إليها ، فلو أبيح البيع في ذلك الوقت لكان الناس يطلبون أثمانا كثيرة لقلته ؛ فلهذا رأى  رضي الله عنه – ألا يباع

Ertinya: “Dan adapun barang yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar r.a. yakni dari tegahannya akan jual beli mushaf maka mudah-mudahan adalah ia pada ketika sangat berhajat manusia kepadanya dan pula mushaf-mushaf ketika itu tidak banyak maka jadi sangat memerlukan mereka itu kepadanya. Maka jikalau dibenarkan jual beli pada demikian itu nescaya jadilah manusia saling menuntut dengan harga yang tinggi kerana sedikitnya. Maka kerana inilah Ibnu Umar r.a. berpendapat tidak dijualbelinya.” (Kitab Syarah Zadul Mustaqni’)

Bawa balik air zam-zam

Harus hukumnya membawa keluar air zamzam dari tanah haram Mekah sama ada untuk diminum atau dijadikan ubat atau diambil berkat dengannya.

Dan keberkatan air zamzam itu tidak hanya diminum di tanah haram Mekah sahaja bahkan di mana sahaja ia dibawa pergi air zamzam adalah air yang sentiasa diberkati.

Diriwayatkan daripada Abu Zarr r.a. Nabi SAW bersabda:

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Ertinya: “Sungguhnya ia (air zamzam) dipenuhi keberkatan dan sungguhnya ia air yang mengenyangkan.” (Hadis riwayat Muslim)

Berkata Syeikh Ibnu Hajar:

وَأَنْ يَنْقُلَهُ إلَى وَطَنِهِ اسْتِشْفَاءً وَتَبَرُّكًا لَهُ وَلِغَيْرِهِ

Ertinya: “Dan (harus) bahawa memindahkannya (air zamzam) pulang ke negerinya kerana menuntut sembuh dengannya dan mengambil berkat baginya dan bagi lainnya.” (Kitab Tuhfah Al-Muhtaj)

Dan berkata Imam As-Sawi Al-Maliki:

ونُدب نقله يعني ماء زمزم  وخاصيته باقية خلافاً لمن يزعم زوال خاصيته

Ertinya: “Dan disunatkan membawa keluar air zamzam dan khasiatnya itu kekal bersalahan bagi mereka yang menyangka hilang khasiatnya.”

Berkata Syeikh Ali As-Syubramallisi:

ماء زمزم لما شرب له، هو شامل لمن شربه في غير محله

Ertinya: “Air zamzam itu bergantung kepada tujuan apa diminumnya. Ia termasuklah bagi mereka yang meminumnya pada bukan tempatnya.” (Kitab Hasyiah As-Syubramallisi)

Dan ada pun dakwaan bahawa jika dibawa keluar dari bumi Mekah akan air zamzam nescaya akan hilang khasiat dan berkatnya itu maka dakwaan itu tidak ada sandarannya.

Berkata Imam As-Sakhowi:

يذكر على بعض الألسنة أن فضيلته ما دام في محله، فإذا نقل يتغير، وهو شيء لا أصل له

Ertinya: “Disebut atas setengah percakapan orang bahawa fadhilat air zamzam itu ada selama kekal ia di tempatnya maka apabila dipindahkan ke tempat lain nescaya berubah ia iaitu perkataan yang tidak ada asalnya (sandarannya).” (Kitab Al-Maqasid Al-Hasanah)

Dan begitu juga yang berkata akan dia oleh Syeikh Ibnu Hajar dalam Kitab Tathir Al-Jinan Wa Al-Lisan.

Dan telah ditanya kepada Atha’ tentang hukum membawa air zamzam itu keluar dari Mekah lalu Atah’ menjawab:

قد حمله النبي والحسن والحسين رضي الله عنهما

Ertinya: “Sungguhnya telah membawanya oleh Nabi SAW dan Al-Hasan dan Al-Husain r.a.”

Sakit adalah penghapus dosa orang mukmin

Sungguh benar bahawasanya sakit adalah setengah dari perkara yang menghapuskan dosa dan kesalahan seorang mukmin.

Rasulullah SAW telah bersabda:

ما مِن مُسْلِمٍ يُصِيبُهُ أذًى؛ مَرَضٌ فَما سِواهُ، إلَّا حَطَّ اللَّهُ له سَيِّئاتِهِ، كما تَحُطُّ الشَّجَرَةُ ورَقَها

Ertinya: “Tiada dari seorang Islam yang menimpanya oleh suatu yang menyakiti sama ada penyakit atau barang yang selainnya melainkan Allah menggugurkan dengan sebab sakit itu baginya akan segala kesalahannya sebagaimana pokok menggugurkan akan daunnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Oleh kerana itulah musibah yang menimpa orang mukmin itu sebenarnya ialah tanda Allah mahu memberikan kebaikan kepadanya kerana dosanya akan dihapuskan dan dia mendapat pahala sabar dan pahala redha dan ingat dia akan Allah dengan sebab musibah tersebut.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. Nabi SAW bersabda:

مَنْ يُرِدِ اللهُ بِهِ خَيْرًا يُصِبْ مِنْهُ

Ertinya: “Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan baginya nescaya akan diturunkan musibah ke atasnya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sungguhnya Allah Taala itu terkadang menjadikan nikmat atas seorang supaya dia bersyukur dan terkadang menjadikan kesusahan ke atas seorang supaya dia besabar.

Berkata Abdul Malik bin Ajbar:

ما من الناس إلا مبتلىً بعافية لينظر كيف شكره أو بلية لينظر كيف صبره

Ertinya: “Tiada dari seorang manusia melainkan akan diuji dengan kebaikkan supaya dilihat bagaimana bersyukurnya atau diuji dengan kesusahan supaya dilihat bagaimana bersabarnya.”

Walllahua’lam. – HARAKAHDAILY 2/4/2021

- Advertisement -